
Seorang bayi berusia tiga bulan menjadi perhatian ramai apabila memiliki rambut lebat berwarna perang yang saling tak tumpah seperti Perdana Menteri Britain, Boris Johnson.
Keunikan rambut David itu menyebabkan ibu bapanya, Ruslan, 43, dan Tatiana Doronina, 35, sering disapa orang yang tidak dikenali di tempat awam apabila menyamakan anaknya dengan pemimpin terbabit.
Ketika dilahirkan pada 1 Mac lalu, bayi terbabit menjadi bualan di kalangan jururawat dan kakitangan hospital yang tertarik dengan rambut lebatnya.
“David sekarang seperti seorang selebriti. Semua orang akan tertarik dengan rambutnya.
“Mereka akan membuat perbandingan antara rambut anak saya dengan Boris setiap kali melihatnya.
“Saya masih terkejut melihat warna rambut anak memandangkan kami berdua memiliki rambut berwarna gelap. Ia juga amat lebat hingga menjadi perhatian di kalangan jururawat. Dia umpama ‘si mini Boris’ kerana rupanya sama seperti Boris,” kata Doronina.
Suaminya pernah mencadangkan anaknya diberikan nama sempena Perdana Menteri itu tetapi dia menolak kerana ingin memberi nama pilihan sendiri.
“Kami tidak perlu memberi nama anak Boris kerana orang mengatakan rupanya sama dengan pemimpin itu. Persamaan mereka agak ketara dan ia menakutkan saya,” katanya.
Bagaimanapun, buat masa ini, Doronina tidak bercadang untuk mencukur rambut anaknya yang terlalu lebat itu.
“Saya ingin tahu sejauh mana kesuburan rambut anak tetapi sekarang pun ia sukar untuk diuruskan. Buat masa ini, saya ingin membiarkannya tumbuh,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]