
Saban hari pelbagai tip, petua dan trik kecantikan (beauty hacks) boleh diperolehi melalui Internet. Ia mudah disebarkan menerusi pelbagai platform media sosial.
Semuanya ada di hujung jari. Namun, ini tidak bermakna apa jua yang kamu anda baca di Internet itu harus dipercaya bulat-bulat.
Perkongsian video beauty hacks mudah memang boleh menarik minat ramai penonton untuk mencubanya. Tapi, jangan bertindak terburu-buru kerana belum tentu trik yang anda tonton itu adalah baik.
Jadi, selidik dahulu sebelum ingin mencuba sesuatu trik kecantikan yang ada di Internet.
Berikut ada 13 trik kecantikan atau beauty hacks yang tidak harus anda cuba.
1. Perahan lemon hilangkan kulit mati?

Jus lemon sangat berasid dan ia boleh menimbulkan rengsa pada kulit seperti ruam merah, rasa pedih pada kulit malah, mungkin juga hiperpigmentasi.
2. Minyak kelapa sebagai pelembap kulit

Ya betul, minyak kelapa baik untuk melembapkan kulit. Tapi, ia juga boleh menyebabkan pori-pori pada wajah jadi tersumbat. Sebaiknya, gunakan minyak kelapa pada rambut sebagai pelembap.
3. Ubat gigi untuk hilangkan jerawat

Trik kecantikan paling popular suatu ketika dulu. Ia dikatakan boleh mengecutkan jerawat. Tapi awas, ia juga boleh menimbulkan iritasi pada kulit seperti ruam, kemerahan dan sebagainya.
4. Pengelupasan kulit menggunakan gula, garam atau baking soda

Ramai yang suka mencuba teknik DIY penjagaan kulit wajah. Skrub gula, garam dan baking soda adalah antara trik yang popular di Internet.
Hati-hati kerana tiga bahan ini agak kasar untuk kulit. Ia boleh menyebabkan kulit terluka sekali gus menyebabkan iritasi. Sebaiknya, pilihlah kaedah pengelupasan (exfoliator) yang lebih lembut.
5. Masker putih telur

Makanan yang belum dimasak lazimnya mengandungi bakteria baik dan jahat. Putih telur dikatakan boleh menegangkan kulit wajah tapi bagaimana kamu boleh memastikan telur yang kamu gunakan itu bebas salmonella? Jadi, jangan mudah terpengaruh dengan trik kecantikan ini.
6. Deodoran menyerap minyak pada wajah?

Jika anda berhadapan dengan masalah kulit berminyak, jangan ambil mudah dengan menggunakan deodoran. Deodoran adalah produk yang bertindak menahan pengeluaran peluh dan bukannya bertindak sebagai penyerap minyak. Formula berbeza ini boleh menimbulkan kesan radang pada kulit dan boleh menyebabkan masalah pori-pori tersumbat.
7. Alkohol sebagai toner

Kandungan alkohol yang tinggi boleh menimbulkan kesan yang tidak baik pada kulit wajah. Jadi, elak menggunakan alkohol sebagai toner kerana ia boleh menyebabkan kehilangan lembapan semulajadi, kulit kering, rosak dan menimbulkan keradangan.
8. ‘Hair spray’ sebagai ‘make-up setting’

Nak solekan tahan lama? Gunalah bedak atau ‘setting spray’ khusus untuk kulit wajah. Produk semburan rambut langsung tidak sesuai untuk diaplikasikan pada wajah kerana ia boleh menyebabkan iritasi dan kulit kering.
9. Gam untuk hilangkan bintik hitam

Kaedah ini sangat bahaya dan boleh merosakkan kulit. Iritasi kulit boleh berlaku jika kamu menggunakan produk yang tidak sesuai untuk kulit wajah.
10. Benang Flos untuk hilangkan bintik hitam

Mengikis atau menggosok benang flos pada kulit wajah bukanlah kaedah yang praktikal untuk menghilangkan bintik hitam (ada yang menggunakannya seperti kaedah threading bulu kening untuk menarik bintik hitam pada wajah). Sentuhan ini boleh mengakibatkan timbulnya garis-garis halus atau pembuluh darah pecah sehingga menyebabkan wajah kelihatan tidak bersih.
11. Deodoran pengganti Face Primer

Ramai yang mempercayai kaedah ini kerana membayangkan bahawa deodoran itu sifatnya mampu menjadikan ketiak matte dan kering. Tapi ini tidak bermaksud ia memberikan kesan yang sama pada wajah. Kulit wajah dan ketiak nyata berbeza!
Deodoran mengandungi garam aluminium serta wangian yang boleh meninggalkan kesan tidak baik pada wajah. Bahan ini boleh mengakibatkan kulit timbul bintik-bintik kemerahan, jerawat, keradangan atau bengkak.
12. Wasabi rawat jerawat

Tahukah kamu bahawa wasabi tidak memiliki sifat anti-radang. Walaupun ada yang mencadangkan penggunaan bahan ini untuk satu tempoh waktu tertentu, wasabi boleh menimbulkan kesan seolah-olah kulit si pemakainya rasa terbakar.
13. Lemon dan baking soda sebagai pencerah

Teknik ini popular untuk mencerahkan ketiak dan celah kelangkang. Awas! Dua bahan ini bahaya jika dicampur bersama. Campuran ini boleh mengakibatkan kulit rasa seperti terbakar. Malah, campuran ini juga boleh menimbulkan kesan radang yang boleh mengakibatkan kulit luka terbakar.
SoCantik.my adalah sebuah portal berita kecantikan sosial diilhamkan untuk berkongsi pelbagai informasi serta berita terkini tentang dunia kecantikan, gaya hidup dan fesyen lokal mahupun antarabangsa.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]