
Jika sebelum ini sosial media heboh memperkatakan tentang “Fake Braces”, kali ini isu “Fake Veneer” juga turut tular di kalangan masyarakat kita.
Apa itu Veneer?
Veneer adalah lapisan nipis yang diperbuat daripada bahan khusus dan ia dilekapkan pada bahagian permukaan hadapan gigi individu.
Ia adalah satu kaedah untuk memperbaiki, mencantikkan dan melindungi permukaan gigi yang rosak atau bermasalah.
“Fake Veneer” dari yang bukan pakar
Sememangnya sesiapa saja ingin miliki senyuman menawan dalam sekelip mata.
Tapi, kerana desakan nak cepat cantik lebih-lebih lagi dengan kos yang murah. Segelintir individu tidak teragak-agak untuk mendapatkan rawatan kecantikan tersebut dari yang bukan pakar!
Apabila menyebut perkataan ‘rawatan,’ seharusnya ia dilakukan oleh individu pakar yang bertauliah. Namun, ada pihak langsung tidak mempedulikan ‘status’ pakar tersebut.
Faktor murah dan mudah, adalah antara desakan mengapa segelintir individu mengambil jalan mudah melakukan rawatan daripada individu yang tidak bertauliah ini.
Individu perlu tahu dan sedar tentang risiko yang boleh berlaku jika mereka mendapatkan rawatan sebegini.
Memanglah mula-mula nampak cantik, tapi untuk jangka masa panjang ia boleh menimbulkan masalah yang lebih besar kepada kesihatan.

Perkongsian daripada doktor gigi bertauliah Dr Ibrahim Shahruddin, dari ICARE Dental Damansara Heights nyata boleh dijadikan panduan sebelum memilih individu yang benar-benar layak melakukan rawatan pergigian pada diri kita.
Dr Ibrahim menyarankan kepada individu yang memakai ‘Fake Veneer’ supaya segera mendapatkan rawatan daripada doktor gigi bertauliah kerana dalam jangka masa tertentu, pemakaian ‘Fake Veneer’ tersebut boleh menimbulkan masalah kesihatan mulut yang serius.

“Pertama sekali penunggang kecantikan atau ‘doktor gigi palsu’ ini langsung tidak kisah tentang kesihatan mulut kamu. “Fake Veneer” ini akan terus ditampal pada permukaan gigi tanpa mengambil kira faktor karies atau infeksi yang boleh berlaku.
“Karies gigi boleh jadi bertambah besar malah, infeksi juga boleh jadi bertambah buruk jika keadaan tersebut terus dibiarkan,” tegas Dr Ibrahim dalam ciapan bebenang twitternya.
Malah, beliau berkata, individu mungkin perlu melakukan rawatan akar bagi mengelakkan infeksi menjadi lebih teruk, yang mana ia akan bernanah dan membengkak sehingga membahayakan kesihatan mulut.
Masalah kepada “Fake Veneer”
Berikut adalah masalah yang lebih besar boleh berlaku jika ia terus dibiarkan tanpa rawatan sewajarnya:
- Skull and crossbonesosteomyeletis iaitu infeksi pada tulang
- Skull and crossbonesludwig angina – bengkak sehingga tidak boleh bernafas dan mengakibatkan kematian
- Skull and crossbonescellulitis – infeksi kulit

“Pemakaian Veneer yang tebal boleh menyebabkan plak dan makanan mudah melekat pada gigi. Berikutan dengan itu, gusi mula mengalami masalah gingivitis seterusnya ia boleh merebak sehingga ke tulang menyebabkan periodontitis.
“Gusi berdarah, tulang mengecut dan mulut berbau busuk,” ulas Dr Ibrahim lagi.
Menurutnya lagi, masalah sedemikian pasti ada berlaku namun siapa yang ingin menghebahnya dan si pelaku juga pasti tidak mahu bertanggung jawab sekiranya kejadian sedemikian berlaku ke atas pelanggannya.
Masalah lain yang boleh berlaku, mangsa boleh mengalami masalah gigitan atau occlusion tidak rata. Pesakit tidak boleh menutup rapat giginya.
Ia boleh menimbulkan kesukaran mengunyah dan akan menyebabkan rahang mulut jadi sakit.
Masalah lebih serius boleh berlaku yang dikenali sebagai lock jaw. Masalah ini berlaku apabila pesakit membuka mulut dengan agak luas dan ia tidak boleh ditutup kembali.

Berbaloikah jika semua komplikasi tersebut berlaku kepada kamu semata-mata kerana ingin ‘mencuba’ pemakaian “Fake Veneer” ini?
Jadi, jangan sesekali menggadai kesihatan diri kerana ingin mencuba sesuatu yang boleh mendatangkan risiko lebih parah.
“Sebenarnya, hanya diri kita sendiri yang perlu bertanggung jawab terhadap kesihatan mulut diri sendiri,” akhiri Dr Ibrahim Shahruddin yang turut merayu kepada seluruh masyarakat untuk menyebarkan maklumat agar lebih peka dengan kesihatan mulut dan tidak mudah tertipu dengan penunggang kecantikan ini.
Screenshot dan laporkan sebarang aduan berhubung doktor gigi palsu di emel Kementerian Kesihatan bahagian Pergigian di [email protected] #MedTweetMY

#ActOnMouthHealth #MedTweetMY
SoCantik.my adalah sebuah portal berita kecantikan sosial diilhamkan untuk berkongsi pelbagai informasi serta berita terkini tentang dunia kecantikan, gaya hidup dan fesyen lokal mahupun antarabangsa.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]