
Definisi cantik berbeza-beza bagi setiap orang. Untuk kelihatan cantik ada wanita yang sanggup perjudikan kesihatan demi memenuhi kriteria atau standard kecantikan yang ditetapkan masyarakat.
Rawatan-rawatan ekstrem seperti menggunakan kosmetik mengandungi bahan beracun seperti merkuri dan hidrokuinon untuk kelihatan putih sebenarnya telah wujud sejak berabad dulu.
Ada rejim kecantikan yang langsung tidak disangka wujud sejak kurun ke-15 lagi dan tidak kurang juga yang maut akibatnya.
Berikut disenaraikan rangkaian kecantikan yang pernah popular tapi amat membahayakan pada satu ketika dulu.
1. Solekan mengandungi plumbum sebabkan kematian Countess of Coventry pada tahun 1760.

Menurut jabatan Muzium dan Koleksi di University College London, populariti kosmetik plumbum dan keracunan sememangnya wujud sejak abad ke-18 lagi.
Countess of Coventry, Maria Gunning contoh yang menjadi mangsa kosmetik apabila menggunakan sebatian plumbum putih yang dikenali sebagai ceruse untuk dijadikan bedak kulit.
Ia juga digunakan untuk menata gaya rambutnya.
Maria meninggal dunia pada usia 27 tahun akibat keracunan plumbum dan merkuri. Dia ‘dibunuh’ oleh racun yang digunakan dalam rejimen kecantikannya sendiri.
2. Wafer mengandungi arsenik untuk kulit ‘pucat’ yang dianggap sempurna.

Arsenik diketahui sangat merbahaya dan menimbulkan ketagihan pada Era Victoria.
Pada akhir abad ke-19, surat khabar Amerika Syarikat mengiklankan wafer arsenik yang katanya jika dimakan boleh menghilangkan jeragat, jerawat, dan masalah kulit wajah lain.
Produk-produk ini mengandungi racun, tetapi itu bukan rahsia – jelas dipaparkan di label yang bertulis “Arsenic Complexion Wafers.”
Walaupun tahu arsenik sangat merbahaya, mereka menganggap pengambilan dengan jumlah yang sedikit tidak akan menjejaskan.
Menurut Healthline, arsenik adalah karsinogen yang sangat beracun bagi manusia dan Arsenic Wafer ini pastinya salah satu produk kecantikan paling beracun yang pernah wujud!
3. Wanita zaman Renaissance Itali gunakan buah dari pokok belladonna untuk besarkan anak mata.

Menurut The Big, Bad Book of Botany: Flora Paling Menarik di Dunia oleh Michael Largo, ekstrak beracun tumbuhan ini menurut sejarah digunakan oleh pembunuh upahan untuk membunuh sasaran mereka.
Malah, ketika zaman Renaissance wanita Itali menggunakan buah beri pokok ini untuk melebarkan anak mata mereka agar kelihatan lebih menggoda.
Buah beri dari pokok ini juga dikatakan beracun yang telah menyebabkan kematian Juliet dalam naskhah Shakespeare, Romeo and Juliet.
4. Kosmetik radioaktif diiklankan sebagai “penemuan baharu yang menakjubkan untuk penambahbaikan”.

Ketika Marie dan Pierre Curie menemui radiasi pada tahun 1898, terdapat syarikat kosmetik memasukkannya ke dalam produk kecantikan sebelum memahami kemungkinan kesan buruk.
Pada tahun 1920-an dan 30-an, syarikat-syarikat seperti Radior dan Tho-Radia menawarkan krim, sabun, dan produk kecantikan radioaktif lain kononnya dapat meremajakan semula kulit dengan tenaganya.
Terlalu banyak pendedahan kepada radiasi boleh menyebabkan barah, penyakit radiasi, dan kematian.
5. Ubat gigi radioaktif dianggap boleh memutihkan gigi.

Doramad, ubat gigi yang mengandungi radium, dihasilkan di Jerman semasa Perang Dunia II.
Menurut terjemahan yang diterbitkan oleh Oak Ridge Associated Universities, label itu mengiklankan fakta bahawa kualiti radioaktifnya “meningkatkan pertahanan gigi dan gusi” serta “menggilap lembut enamel gigi sehingga menjadi putih dan berkilat.”
Seperti alat solek dan krim radioaktif, ubat gigi radioaktif menimbulkan risiko keracunan radiasi yang serius.
6. Korset ketat pada abad ke-18 dan ke-19 menyebabkan kecacatan.

Korset wanita zaman Victoria begitu ketat sehingga menolak perut dan hati ke bawah.
Malah, ia melengkungkan tulang rusuk ke bentuk “S”, dan menjadikan tulang belakang tidak selari.
Ketidakmampuan wanita zaman itu menarik nafas dalam-dalam menyebabkan mereka sering pengsan.
7. Pil mengandungi cacing pita sebagai kaedah penurunan berat badan pada zaman Victoria.

Rahsia untuk makan apa sahaja yang kamu mahu dan tidak akan bertambah berat badan? Bagi sesetengah orang, adalah dengan makan cacing pita.
Iklan pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 mengajak orang ramai untuk menelan “cacing pita yang dibersihkan” yang dikatakan akan mengimbangi kenaikan berat badan dengan makanan yang diambil.
Menakjubkan apabila masih ada yang mencuba diet ini!
Pada tahun 2013, TODAY melaporkan seorang wanita di Iowa, AS membeli cacing pita dalam talian dan menelannya, kemudian terpaksa berjumpa doktor untuk meminta bantuan.
8. Bulu mata palsu pernah dijahit ke kelopak mata.

Pada tahun 1899, The Dundee Courier melaporkan terdapat prosedur menyambung bulu mata yang menyakitkan di mana seorang ‘specialist’ menjahit rambut ke kelopak mata dengan jarum.
Tidak dapat dibayangkan ada yang sanggup berbuat demikian untuk kelihatan cantik.
Namun, hari ini sambungan bulu mata boleh digunakan dengan gam tanpa rasa sakit.
Jadi, sejauh mana anda sanggup merisikokan diri untuk kelihatan cantik seperti dilakukan wanita zaman dahulu?
SoCantik.my adalah sebuah portal berita kecantikan sosial diilhamkan untuk berkongsi pelbagai informasi serta berita terkini tentang dunia kecantikan, gaya hidup dan fesyen lokal mahupun antarabangsa.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]