
Potong kuku mungkin perkara yang remeh bagi anda, tetapi bagi sesetengah individu, penjagaan kuku yang betul penting untuk kesihatan mereka. Pesakit diabetes contohnya, perlu memastikan mereka potong kuku dengan betul untuk mengurangkan risiko masalah kaki di masa hadapan.
Teknik yang betul diperlukan untuk mengelakkan kuku cekam atau jangkitan berlaku. Kuku cekam disebabkan kuku yang masuk ke dalam kulit dan tidak tumbuh secara normal. Ia merupakan sebab utama kesakitan kaki dan boleh membawa kepada jangkitan yang serius.
Sesetengah kuku tumbuh ke dalam secara sendiri tanpa mengira apa yang anda lakukan. Dalam kes tersebut, ia hanya boleh ditangani melalui pembedahan. Tetapi jika anda belajar cara memotong kuku dengan betul, anda mungkin dapat melindungi jari daripada masalah kuku cekam.
Tip potong kuku kaki
- Potong lurus.
Kuku kaki tidak boleh dipotong menyerong pada sisi. Elakkan memotong kuku menjadi bentuk melengkung. Kuku kaki hendaklah dipotong secara lurus.
- Gunakan pengetip kuku yang sesuai.
Pengetip kuku yang lebih besar, lebih sesuai dan lebih mudah digunakan untuk kuku kaki. Pastikan pengetip kuku dan alatan lain yang anda gunakan pada jari kaki dinyahkuman seperti menggunakan alkohol sebelum dan selepas menggunakannya.
- Biarkan kuku sedikit panjang.
Jangan potong kuku terlalu pendek, kerana ia adalah satu lagi sebab mengapa kuku cekam berlaku. Ia juga boleh meningkatkan risiko jangkitan.
- Potong kuku sewaktu kering, bukan basah.
Kuku basah mungkin berkeruping, membengkok atau tidak dipotong dengan baik kerana lebih lembut. Memotong kuku sewaktu kering akan memberi anda potongan yang bersih dan licin.
- Potong sedikit demi sedikit.
Jangan cuba untuk memotong setiap kuku jari dalam satu ketipan. Sebaliknya, potong sedikit demi sedikit.
- Jangan potong kutikel.
Jika anda ingin menyingkirkan kutikel atau kulit selaput pada kuku kaki anda, gunakan kayu kutikel (kayu pokok oren) untuk menolaknya. Memotong boleh menyebabkan pendarahan atau jangkitan, sedangkan menolaknya menjadikan kuku kaki kelihatan kemas tanpa risiko kesihatan.
Artikel ini telah disiarkan di Hello Doctor. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]