
Penularan wabak Covid-19 yang melanda dunia sejak hampir dua tahun lalu turut memberi kesan kepada seluruh masyarakat di negara ini. Walau seperit mana pun ujiannya, hidup perlu diteruskan.
Video yang dimuat naik FS Channel kali ini agak menyentuh perasaan. Pengacara saluran tersebut menjelaskan pada awal tahun ini, ada menerima mesej dari seorang pengguna Facebook yang meminta Yayasan Maghfirah kendalian saluran itu membantu seorang pakcik yang berniaga menjual nasi lemak secara kecil-kecilan.
Menurutnya lagi, pakcik itu berniaga menggunakan motosikalnya di hadapan Petronas dekat pasaraya Lotus’s Ampang.
Namun, akibat Perintah Sekatan Pergerakan (PKP), mereka tidak dapat menjenguk pakcik yang dimaksudkan.
Tiga bulan berselang, mereka difahamkan pakcik tadi telah meninggal dunia akibat Covid-19. Akhirnya selepas kelonggaran PKP diumumkan mereka nekad mencari isteri pakcik itu yang difahamkan meneruskan perniagaan dibantu anak sulung berusia 11 tahun.
Anggota FS Channel dikenali sebagai Wan sempat ke lokasi untuk melihat sendiri keadaan waris pakcik tersebut.
“Arwah dah tak ada, akaklah isteri dia. Motor dia ada dirumah,” kata wanita dikenali sebagai Siti Aisyah ketika didekati FS Channel.
Menurut Siti Aisyah dia meneruskan perniagaan itu untuk menampung kehidupan serta membesarkan tiga anaknya. Oleh kerana tidak tahu menunggang motosikal, seorang jiran yang turut meletak kuih untuk diniagakan menghantar dan mengambilnya di situ setiap hari.
Menurutnya yang lebih senang dipanggil Kak Siti, suaminya meninggal dunia pada Julai akibat Covid-19.
Agak sukar baginya menerima hakikat suaminya telah tiada lagi, namun demi kehidupan dan masa depan tiga anaknya, dia nekad.
Kak Siti turut teruja sebaik Wan menyatakan hasrat untuk membeli semua makanan jualannya termasuk nasi lemak, nasi goreng kampung, bihun dan kuih muih.
Lebih menyeronokkan lagi, terusik hati warganet melihat kesungguhan yang ditunjukkannya untuk menyedekahkan setiap makanan kepada mereka yang melalui jalan itu sehingga habis.
Usai membahagikan makanan kepada orang ramai, hasil kutipan derma menerusi Yayasan Maghfirah berjumlah RM500 turut disampaikan kepada Kak Siti.
Gugur air matanya di atas kemurahan hati dan kepekaan Yayasan Maghfirah di atas desakan dan dugaan hidup yang dilaluinya.
Bagi anda yang berminat untuk menempah pelbagai jenis juadah, bolehlah menghubungi Siti Aisyah di talian 017 8416650.
Kak Siti juga berniaga pada setiap hari Selasa hingga Ahad (Isnin cuti) dari jam 7 pagi hingga 11 pagi.
Bagi memungkinkan lebih ramai lagi dapat dibantu, orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada Yayasan Maghfirah menerusi akaun:
Bank Islam: 12300010011304
Reference: ‘BantuPeniaga’
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]