
Beberapa perkongsian sebelum ini pernah memaparkan kecekalan dan sikap terpuji petugas penghantar barangan termasuk yang berjaya mendapat PhD, membantu gelandangan serta membelikan barangan dapur untuk keluarga yang terkesan.
Baru-baru ini, lensa warganet berjaya merakam gelagat seorang penghantar Foodpanda yang leka menguli dan menebar roti canai di sebuah restoran.
Video yang dimuat naik di TikTok oleh Muhd Ariff itu memaparkan gelagat seorang penghantar Foodpanda (rider) sedang membantu menyediakan makanan di sebuah kedai Mamak di Selayang, Selangor.
Difahamkan menerusi keterangan video tersebut, rider itu telah menunggu terlalu lama untuk pesanannya dan kemudian bertindak membantu restoran itu menyediakannya.
Video yang dikongsi enam hari lalu itu mengundang banyak perhatian di TikTok dengan 53,000 tanda suka dan ditonton lebih 330,000 kali. Ruangan komen juga sarat dengan maklum balas melucukan dari warganet.
“Apa yang rider Foodpanda tak boleh buat?” kata seorang pembaca.
“Pelanggan: kenapa lambat? Ambil makanan ke buat makanan?
Foodpanda: tunjuk video ni,” usik seorang warganet mengenai ayat yang biasa digunakan pelanggan yang sering merungut.
“Lepas ni kena masukkan dalam order (pesanan) tu “your rider is preparing your food since vendor is very busy (penghantar makanan sedang menyiapkan makanan anda memandangkan restoran/gerai tersebut sedang sibuk),” komen seorang lagi warganet melawak.
Video tersebut turut dikongsi semula di laman Facebook Foodpanda rider Malaysia.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]