Marah campur kagum lihat aksi lelaki mandikan, beri tedung selar minum

Marah campur kagum lihat aksi lelaki mandikan, beri tedung selar minum

Difahamkan lelaki itu berani memandi dan memberi ular itu minum kerana ia tidak agresif.

Video itu memaparkan seorang lelaki yang sedang memandikan dan memberi minum seekor ular tedung selar. (Gambar Instagram)

Berbuat baik itu tidak menyakitkan terutama terhadap haiwan yang tidak memiliki kecerdasan seperti manusia. Namun peribahasa turut mengingatkan, kalau hendak berbuat baik, biarlah berpada-pada.

Sebuah video yang memaparkan kemuliaan hati seorang insan itu tular di media sosial apabila seorang lelaki dilihat sedang memandikan seekor ular tedung selar.

Ya ular tedung selar, spesies ular paling berbisa terbesar di dunia yang sekali pandang saja sudah mampu buat kita lari tidak cukup tanah.

Namun tidak dengan lelaki ini. Bukan saja dia mendekati ular berbisa itu tetapi dia mengisi sebaldi air dan menjirus tubuh ular itu sambil memberinya minum.

Difahamkan ular tersebut kepanasan dan haus akibat cuaca. Kerana itu juga ia menghampiri kawasan perumahan tersebut mencari air. Ular itu juga dikatakan tidak agresif.

Ketika orang ramai bertempiaran lari, lelaki ini tampil cuba membantu.

Berikutan perkongsian video di akaun Instagram @helicopter_yatra_ itu, ia terus tular dan kini ditonton lebih 33,000 kali.

Difahamkan video sama pernah dikongsi tahun lalu. Dalam pada itu, perlu ditegaskan bahawa aksi sebegini hanya untuk mereka yang pakar dalam mengendalikan haiwan berbisa.

Reaksi pelbagai turut membanjiri ruang komen. Ada yang memuji, mengagumi dan tersentuh hati namun tidak kurang juga yang bingung, marah dan menganggap ia tindakan yang kurang bijak malah mengundang bahaya.

“Kebaikan yang tiada hadnya bakal anda rasai,” komen seorang pembaca cukup tersentuh.

“Adakah dia masih hidup,” kata seorang warganet melawak.

“Kebodohan sebenar,” komen seorang pembaca lagi.

“Tapi tuan, dewasa ini manusia lebih berbahaya dari tedung selar,” kata seorang lagi pembaca menjawab komen warganet.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.