
Pasangan juara tinju profesional dan sukan tempur, Bec dan Adrian Rodriguez terkejut besar apabila mendapati hadiah perkahwinan mereka telah dicuri oleh pengawal keselamatan yang diupah untuk mengawalnya.
Ia hanya disedari pasangan terkenal itu beberapa hari selepas majlis berlangsung di Lightspace, Fortitude Valley, Brisbane apabila seorang rakan bertanyakan sesuatu mengenai ucapan yang ditulis di atas kad hadiah perkahwinannya.
“Baru Adrian perasan kami tidak pernah membuka kad ucapan dari kawan tadi,” jelas Bec Rodriguez kepada 7NEWS.
Selepas menyiasat, mereka mendapati hadiah-hadiah tersebut telah dicuri. Sebaik menghubungi pengurusan lokasi majlis, mereka hanya akan berkongsi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) selepas pasangan itu memeriksa setiap tetamu mereka.
“Saya memang marah. Kecewa kerana perlu melalui proses itu. Bayangkan kekoknya rasa bila kita perlu bertanya kepada setiap tetamu ‘awak ada terambil hadiah perkahwinan kami tak?’,” kata Rodriguez.
Akhirnya rakaman CCTV mendedahkan bahawa pengawal keselamatan tersebut telah mencuri hadiah perkahwinan bernilai hampir AS$1,050 termasuk kad ucapan dan surat tetamu.
Pasangan itu telah melaporkan insiden tersebut kepada polis dan siasatan sedang dijalankan.
Bec adalah juara dunia kategori Featherweight dalam sukan tinju bareknuckle manakala Adrian adalah peninju profesional dengan rekod 14 kali menang, 4 kalah dan 2 seri.
“Ia memang kelakar sebab semua tetamu saya kata, ‘lelaki ini sedar tak dia mencuri barang siapa? Kata Bec sambil tertawa.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]