
Sebuah botol yang mengandungi mesej dari tahun 1984, ditemui 37 tahun kemudian selepas terdampar di Hawaii.
Ia sebahagian daripada eksperimen sekumpulan pelajar sekolah menengah di Jepun dan ditemui seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun.
Mesej dalam botol yang berjudul ‘Siasatan Arus Lautan’ itu ditulis oleh pelajar dan dilepaskan berhampiran Pulau Miyakejima, di barat Jepun, sebagai sebahagian daripada projek sekolah mengenai arus lautan.
Surat bertarikh 1984 itu antara lain meminta sesiapa saja yang menemuinya untuk mengembalikannya kepada Sekolah Tinggi Choshi.
Menurut akhbar tempatan Jepun, mesej dalam botol itu ditemui Abbie Graham ketika bersiar-siar bersama keluarga di pantai berhampiran Hilo, Hawaii, 4,350 batu dari lokasi asal.
Dalam satu kenyataan media, sekolah itu berkata, pada 1984 mereka melepaskan 450 botol dan 300 lagi pada 1985 sebagai sebahagian daripada tinjauan arus lautan.
Botol-botol lain dari eksperimen tersebut turut ditemui di Washington, Kanada, Filipina dan Pulau Marshall di Pasifik tengah.
Sekolah Tinggi Choshi berkata pelajarnya merancang untuk menulis surat kepada Abbie sebagai tanda penghargaan.
Mereka turut menghadiahkan Tairyo-bata, sejenis bendera nelayan (sebagai tanda hasil tangkapan yang baik) beserta surat tersebut sebagai hadiah.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]