Gadis Melayu selamba ‘lip-sync’ bahasa Tamil tawan hati rakyat Malaysia

Gadis Melayu selamba ‘lip-sync’ bahasa Tamil tawan hati rakyat Malaysia

Gadis berdarah campuran Brunei-India ini sering dilihat memuat naik kandungan penyegerakan bibir lagu-lagu popular, filem dan drama lucu dalam bahasa Tamil.

Pemilik akaun TikTok @era.rawther adalah cerminan keindahan menguasai pelbagai bahasa selain mewarisi budaya unik rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Menguasai lebih daripada satu bahasa memang banyak kelebihannya. Selain meningkatkan rasa yakin terhadap diri sendiri ia juga satu terjemahan bagaimana kita menghargai perbezaan budaya masyarakat lain.

Bagi gadis manis yang cukup dikenali dalam kalangan pengguna media sosial TikTok, biar tidak mengenakan sari, ia bukan penghalang buatnya untuk menguasai bahasa Tamil dengan baik.

Pemilik akaun TikTok @era.rawther, usahawan berusia 26 tahun ini ternyata berada dalam kelasnya yang tersendiri dari segi pengisian kandungan di platform media sosial tersebut.

Anak kelahiran Sabah yang berdarah campuran Melayu-India ini tidak pernah gagal menarik perhatian peminatnya setiap kali memuat naik aksi penyegerakan bibir atau lip-syncing filem Tamil, drama dan lagu-lagu nostalgia walaupun bertudung.

Bukan sekadar lip-syncing, malah mimik muka serta ekpsresi wajahnya yang saling tak tumpah seperti aksi yang ditirunya itu mampu buat orang ketawa terbahak-bahak walau langsung tidak memahami apa yang dikatakannya itu.

Ketika ditemui World Of Buzz, Era menjelaskan dia sebenarnya berdarah campuran di mana bapanya berbangsa India manakala ibunya dari Brunei.

Tambahnya dia mula memuat naik lebih banyak kandungan dalam bahasa Tamil selepas ramai pengikut menyaksikan videonya dan berkongsi penghargaan mereka.

“Saya rasa dihargai dan disayangi! Mereka sangat kuat menyokong, malah ada yang mengakui menonton video saya dapat melepaskan tekanan dan itu buat saya gembira.”

Sehingga artikel ini disiarkan, Era berjaya mengumpulkan lebih 1.3 juta tanda suka menerusi semua perkongsiannya.

“Kepada semua pengikut saya, terima kasih di atas sokongan anda! Jangan lupa untuk sebarkan kasih sayang dan nilai positif ini di antara satu sama lain dan jaga diri!” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.