Kagum sikap ikhsan & berani polis Bangkok, peluk lelaki acu pisau padanya

Kagum sikap ikhsan & berani polis Bangkok, peluk lelaki acu pisau padanya

Lelaki tidak dikenali itu dikatakan tertekan selepas gajinya tidak dibayar dan gitarnya dicuri.

Imej menunjukkan seorang pegawai polis yang sedang duduk memujuk seorang lelaki untuk menyerahkan pisaunya.

Andai kata kebaikan itu mempunyai wajah, mungkin inilah rupa bentuk yang layak menggambarkannya.

Video yang dikongsi akaun Instagram @millionaireDivision ini memaparkan satu insiden yang cukup meruntun jiwa.

Insiden yang berlaku di sebuah ibu pejabat polis di Bangkok, Thailand itu menyaksikan seorang lelaki yang dipercayai tertekan, menceroboh pejabat penguatkuasa polis dengan bersenjatakan pisau.

Apa yang menarik, anggota polis yang sedang berdepan lelaki tersebut langsung tidak mencapai senjata apinya, sebaliknya dia duduk dan cuba mengajak lelaki itu bersembang untuk menenangkannya.

Pegawai yang dikenali sebagai Anirut Malee itu duduk berbual sambil memujuk lelaki itu untuk menyerahkan senjatanya.

Lebih mengejutkan, sebaik penyerang itu menyerahkan senjatanya, Anirut terus menghampiri dan memeluknya.

Akibatnya lelaki tersebut mula tenang, duduk dan menyesali tindakan melulunya itu. Malah, ketika pegawai polis tersebut menghulurkan minuman, air matanya mula gugur.

Difahamkan, lelaki tersebut pernah menjadi seorang pemuzik namun terpaksa beralih kerjaya sebagai pengawal keselamatan.

Dia yang diberi gaji harian masih tidak menerima bayaran sejak memulakan kerja tiga hari sebelumnya.

Katanya gitarnya juga dicuri dan keadaan itu membuat dia lebih tertekan lagi.

“Selepas mendengar kisahnya saya sangat bersimpati dan memberitahunya saya ada gitar untuk diberikan kepadanya, sambil mencadangkan kami keluar makan bersama,” kata Anirut.

Lelaki yang tidak didedahkan identitinya itu juga dibawa ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan mental.

Pada akhirnya tiada sebarang pendakwaan difailkan, malah lelaki yang tertekan tadi diberi peluang kedua untuk memperbaiki kehidupannya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.