
Menyaksikan sendiri tindakan pantas seorang pekerja sanitasi menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak lelaki di dalam video ini, memang boleh buat anda sakit jantung.
Tidak hairanlah ia mengundang tular sehingga menggerak ramai orang di luar sana untuk meninggalkan komen-komen positif dan kekaguman mereka di atas tindakan pantas lelaki tersebut.
“Jika anda sudah lihat seorang pekerja sanitasi menyelamatkan kanak-kanak lelaki hari ini, teruskan menonton,” tulis keterangan video yang dikongsi @Rex Chapman di Twitter.
Menerusi video pendek berdurasi 11 saat itu, seorang budak lelaki dilihat keluar dari rumah dan cuba melintas jalan dalam hujan renyai.
Dalam masa sama, sebuah lori sanitasi melalui jalan yang sama manakala di arah bertentangan kelihatan sebuah kereta yang sedang dipandu agak laju.
Akibat pandangan kanak-kanak dan kereta yang laju itu terhalang oleh lori sanitasi, dapat dibayangkan apa yang akan terjadi seterusnya.
Namun, tindakan pantas pekerja sanitasi yang cepat membaca keadaan dan terus menarik budak lelaki tersebut sebelum dirempuh kenderaan laju itu ternyata menyelamatkan nyawanya.
Sejak dimuat naik, video itu telah mengundang lebih 1.5 juta tontonan dan jumlahnya semakin meningkat begitu juga komen yang diterima.
“Wow, terima kasih kerana menyelamatkan nyawa berharga ini,” tulis seorang pengguna Twitter.
“Saya menceburi bidang sisa buangan pepejal sejak 30 tahun lalu, banyak juga kisah membabitkan kru mahu pun pemandu solo menyelamatkan nyawa yang pernah saya dengar,” kata seorang pembaca.
“Pekerja sanitasi seringkali terpinggir dan tidak dihormati, namun hanya insan-insan hebat saja yang mampu melakukan tugas ini,” kata seorang lagi pembaca.
“Bukan semua adiwira terbang, ada yang berpaut di belakang lori sanitasi,” komen seorang warganet.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]