Kerusi gaming berbungkus rupa ‘Lebai Malang’ halang kucing buat onar

Kerusi gaming berbungkus rupa ‘Lebai Malang’ halang kucing buat onar

Perkongsian Asiah Kuzaiman mengenai cara mencegah kucing dari mencakar kerusi itu mengundang lebih 3.8 juta tanda suka.

Perkongsian Asiah Kuzaiman di Facebook mengundang lebih 3.8 juta tanda suka. (Gambar Facebook)

Pemilik ‘anak bulus’ atau kucing pasti punya cerita tersendiri mengenai gelagat atau perangai ‘klasik’ haiwan kesayangan mereka itu.

Seperti yang dikongsi Asiah Kuzaiman di kumpulan Facebook Kucing Sepahkan Apa Hari Ini?, onar yang diharap tidak berulang kembali menghantui dirinya sebaik suami yang dipanggil Apak, membeli sebuah kerusi gaming baharu.

Menerusi keterangan Asiah yang ditulis dalam loghat Negeri Sembilan, kucing kesayangannya mempunyai tabiat suka mencakar kerusi.

Akibat tabiat itu, dia tiada pilihan selain membungkus kerusi tersebut dengan kain termasuk kain pelikat.

Hasilnya, mungkin tidak begitu indah dipandang, namun ia sudah cukup untuk menghalangnya dari mencakar.

“Sis dah koba kek apak, nak beli kerusi gaming tunggu la ado bilik khas dulu. Tapi apak bega bona, dio poie boli kerusi tu jugak. Bawa balik pukul 7 malam, pukul 8 dah selamat kerusi tu kono cakar.

“Satu kojo pulak eden kono balut kerusi tu malam-malam. Dah ghope apo tak tahu terusi tu. Sabo jo lah.” kata Asiah Kuzaiman dalam perkongsiannya.

Biarpun sudah berbungkus dan tidak menarik untuk dicakar, namun si bulus tetap selesa menjadikannya ‘pot’ baru untuk melepak.

Dek ramai pemilik anak bulus yang pernah mengalami mimpi ngeri yang sama, tidak hairanlah perkongsian ini menjadi tular sehingga mengundang lebih 3.8 juta tanda suka.

Ruang komen juga meriah dengan pelbagai maklum balas positif, mencuit hati selain ada yang turut berkongsi cara terbaik untuk mengatasinya.

“Satu joo nak ingatkan, kito ni orang gaji, dio bos besar kek umah,” kata Mizs Rose.

“Acik sila beli selimut hospital ni kat Shopee, senang sebab sekeping je pakai,” cadang Hidayah Terbilang kepada Asiah.

“Pelikat edition V2 gaming chair,” kata KGulf Oil mengusik.

“Dah macam lebai pak malang acik nengok bangku gaming tu dik,” komen Mark Cheeks cukup mencuit hati.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.