
Seorang wanita ‘ketawa terbahak-bahak’ apabila seekor pari di sebuah akuarium cuba melakukan ‘tunafoto’ (photobomb) terhadap gambar bayinya dengan meniru ekspresinya.
Difahamkan gambar momen lucu tersebut rancak diperkatakan di internet dan menjadi tular di media sosial.
Wendy Armstrong, yang menetap di Workington, UK, sering mengunjungi Lake District Coast Aquarium dengan anak perempuannya Aurora dan Daisy, lapor Fox News, memetik SWNS.
Ketika mereka kembali berkunjung ke akuarium tersebut, Wendy menyedari ikan pari itu agak menyukai anak perempuannya, Daisy yang berusia 6 bulan.
Apa yang melucukan, ketika Daisy menunjukkan mimik muka serius, ikan pari di dalam akuarium itu cuba meniru ekspresinya.
Bercakap kepada SWNS, Wendy Armstrong berkata, “Ia sudah pasti menjadi antara gambar anak-anak kegemaran kami.
“Saya mengeluarkan telefon bimbit, dan sebaik melihat mereka berdua menunjukkan ekspresi wajah yang sama menyedihkan, saya ketawa terbahak-bahak dan terus mengambil gambar,” ujarnya.
“Pada usia itu, Daisy tidak mudah tersenyum dan ia sedikit membimbangkan kami, tapi syukur dia kini lebih ceria,” tambah Wendy Armstrong.
Ikan pari adalah kumpulan pari laut yang mempunyai tulang rawan dan ada kaitan dengan jerung.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]