
Rezeki memang tidak pernah salah alamat. Demikian kisah menyentuh hati seorang penghantar barangan e-hailing yang tidak menyangka, makanan yang dihantar itu rupanya punya bahagian untuknya.
Video berdurasi hampir dua minit itu dikongsi pemilik akaun TikTok@bryanoh715 dan turut tular di akaun Facebook Penang Flash News.
Di awal perkongsian tersebut, kelihatan seorang penghantar makanan e-hailing sedang menjalankan tugas biasa menghantar makanan segera yang dipesan seorang pelanggan.
Kelihatan seorang pemuda berbangsa China siap menanti di luar pagar rumah untuk mengambil barangan yang dipesan.
Apa yang mengejutkan, pelanggan muda yang dikenali sebagai Bryan itu tiba-tiba bertanya sama ada penunggang e-hailing tersebut sudah makan atau belum.
“Saya mahu tanya, awak dah makan ke? tanya Bryan.
“Belum,” jawab ringkas penghantar yang memperkenal diri sebagai Fahmi.
“Saya bagi satu untuk awak. Takpe saya memang beli untuk awak.”
Dalam riak terpinga-pinga dan tersentuh dalam masa yang sama, Fahmi pada mulanya menolak kerana segan, namun akhirnya menerima dengan penuh syukur.
Dalam pertemuan singkat itu, Bryan diberitahu bahawa pekerjaan e-hailing itu dilakukan sejak hampir dua tahun lalu selepas syarikat lama terpaksa memberhentikannya untuk menjimatkan kos akibat Covid-19.
“Inilah pengalaman terbaik saya sepanjang bekerja sebagai ‘rider’. Pertama kali pelanggan memberi saya makan. Terima kasihlah,” kata Fahmi ikhlas sambil mendoakan agar Bryan sekeluarga dimurahkan rezeki.
Perkongsian yang tular sejak beberapa hari lalu itu mengundang lebih 1.8 juta tontonan, 5.1 juta komen dengan hampir 10,000 perkongsian.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]