
Ruangan komen dalam mana-mana forum dalam talian boleh diibarat seperti medan perang yang merimaskan.
Namun, siapa sangka sikap khalayak media sosial yang terlebih mengambil berat dan tidak bertapis itu boleh menyelamatkan nyawa.
Realiti tersebut dialami sendiri seorang influencer kewangan TikTok yang cukup terkenal, dikenali sebagai @seattletechbro.
Katanya, dia menerima beberapa mesej yang menegur saiz tiroidnya sejak mula memuat naik video pada Mei 2021. Justeru benar bagai dikata, ada sesuatu yang tidak kena.
“Seorang pengguna TikTok memberitahu yang saya mungkin menghidap kanser, dan nampaknya andaian mereka benar belaka,” katanya dalam satu perkongsian.
Akibat beberapa komen berikut, membuat jejaka berusia 22 tahun itu tidak senang duduk lalu terus melakukan beberapa ujian.
Seperti yang dijangka, doktor mendapati sebahagian daripada benjolan misteri yang dikesan adalah bersifat kanser dan pembedahan segera dilakukan untuk membuangnya.
Walaupun proses pemulihan menyebabkan dia sukar untuk bercakap, @seattletechbro masih mahu mengucapkan penghargaan kepada warganet yang mengambil berat terhadap dirinya.
Katanya dia akan mengundurkan diri buat sementara waktu kerana proses pemulihan agak melesukan.
Menjenguk ke ruang komentar, rata-rata khalayak media sosial terus melontarkan kata-kata semangat dan doa mereka buatnya.
“Kadangkala internet boleh jadi ruang yang bermanfaat,” kata seorang pengguna.
“Pada mulanya gementar juga untuk menegur, tapi saya lega dapat berbuat demikian. Moga segera sembuh,” kongsi seorang lagi.
Pada 2019, pengacara program HGTV Flip or Flop, Tarek El Moussa pernah ditegur mengenai masalah yang sama oleh seorang peminat yang juga seorang jururawat.
Dia kemudiannya disahkan menghidap kanser tiroid dan kini pulih sepenuhnya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]