
Mendengar sesuatu yang mustahil dan luar biasa di YouTube memang sukar untuk dicerna selagi tidak dilihat dengan mata kepala sendiri.
Namun menyaksikan sendiri Matt Stonie, yang bukan cuba mencerna sebaliknya melahap burger bersaiz gergasi dalam masa hanya empat minit saja, pasti akan buat anda tercengang.
Melalui rakaman sebuah video yang dimuat naik di YouTube, memperlihatkan bagaimana Stonie berjaya memakan burger gergasi dengan 20,000 kalori itu sekaligus mencipta Rekod Dunia baharu dengan catatan masa 4 minit 10 saat.
Di awal video tersebut, Stonie menjelaskan mengenai cabaran makan burger yang disahut dan akan diselesaikannya.
“Perlu kembali semula ke Las Vegas dan menyahut cabaran Iconic Food Challenge. Cabaran Octuple Bypass ini sedang berlangsung di restoran Heart Attack Grill!
“3.9 kilogram daging, 16 keping keju, sebiji bawang besar, dua tomato, cili, 40 keping bakon dan 2 roti burger,” ujarnya sebelum melahap dan memecahkan rekod dunia itu.
Rekod Dunia sebelum ini dicatatkan oleh Miki Sudo dengan masa 7 minit 42 saat, jelas keterangan video tersebut.
Sejak tular di media sosial beberapa hari lalu, ia telah menarik lebih 8 juta tontonan dan reaksi dari seluruh dunia.
Penonton ternyata kagum dengan paparan dan kebolehan Matt Stonie menghabiskan burger bersaiz gergasi dengan 20,000 kalori dalam masa hanya 4 minit saja.
Tidak kurang juga warganet yang mengakui, tidak mampu menghabiskan burger lazat bersaiz gergasi itu walaupun separuh.
“Saya dapat merasakan kesakitannya menerusi video ini,” kata seorang YouTuber.
“Dalam masa yang sama, saya merasa geli dan kagum,” komen seorang lagi.
“Jejaka ini memang legenda,” ulas seorang lagi warganet.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]