
Seorang YouTuber di Mesir dilaporkan berdepan tindakan undang-undang kerana mengaku mengubah piramid di Giza menjadi biru sempena majlis mendedahkan jantina anaknya.
YouTuber Siamand Mustafa berkongsi video piramid yang bermandikan cahaya biru untuk mengumumkan jantina anaknya yang belum lahir.
Menurut The Mirror, Mustafa mendakwa menghabiskan masa selama beberapa hari untuk mendapatkan kebenaran dan dokumen yang sah agar piramid tersebut dapat dinyalakan dengan warna biru hanya untuknya.
Video yang dikongsi di YouTube minggu lalu bertajuk “Pesta mendedahkan jantina yang pertama diadakan di piramid” itu tular dengan lebih 4 juta tontonan.
Video itu menunjukkan Siamand Mustafa dan isterinya Shahad, yang sedang menanti kelahiran anak kedua mereka, berdiri di hadapan piramid bersama rakan-rakan.
Pertunjukan cahaya kemudian mengubah struktur kuno itu menjadi biru, menunjukkan pasangan itu bakal menimang cahaya mata lelaki.
Walaupun Mustafa mendakwa bahawa piramid itu dinyalakan khusus untuk gimik pendedahan jantina anaknya, pihak berkuasa Mesir berkata piramid itu berwarna biru untuk acara yang sama sekali berbeza.
“Beberapa hari lalu, piramid dinyalakan dengan warna biru dan jingga bersempena Hari Hati Sedunia hasil kerjasama antara Kementerian Pelancongan dan Antikuiti serta Kementerian Kesihatan, selain kempen menghapuskan Hepatitis C di Mesir,” kata Mohamed Abdelaziz, pengendali Syarikat Cahaya dan Bunyi yang mengatur semua acara di piramid.
Menurut Arab News, seorang pegawai Mesir yang bertanggungjawab di tapak bersejarah itu menegaskan bahawa pihak persendirian dilarang sama sekali untuk menghampiri piramid, dan ia tidak boleh digunakan untuk tujuan pengiklanan.
Abdelaziz mengesahkan bahawa tindakan undang-undang sedang diambil terhadap Mustafa berhubung video tersebut.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]