
Hakikatnya, memenangi pingat emas di sukan Olimpik Tokyo bukan jaminan untuk mendapat layanan lima bintang.
Demikian yang perlu dihadapi atlet memanah Korea Selatan, An San yang membawa pulang tiga pingat emas di Olimpik Tokyo yang baru saja berakhir.
Kepulangannya bukan saja disambut dengan kata-kata pujian dan sanjungan, malah dia turut dikecam dan dikritik hebat ‘haters’ di media sosial hanya kerana berambut pendek.
Pelbagai kecaman dan kutukan yang ditujukan buatnya termasuk melabel An San sebagai feminis (kumpulan yang dikatakan membenci lelaki).
“Baguslah dia menang emas, tapi rambutnya yang pendek buat dia kelihatan seperti seorang feminis. Kalau betul, saya tarik balik sokongan terhadapnya. Semua feminis patut mati,” komen keras seorang warganet.
Walau pelbagai kritikan dilemparkan terhadapnya, kempen mempertahankan An San juga tidak kurang hebatnya.
Hasilnya, ribuan wanita mula memuat naik gambar berambut pendek di media sosial, sekali gus menegaskan ia langsung tidak mengurangkan sifat kewanitaan mereka.
Han Jiyoung wanita disebalik kempen rambut pendek #women_shortcut_campaign, di Twitter memberitahu BBC, dia amat terganggu apabila melihat bukan satu tapi banyak komen misogynistic tentang An San yang datang dari komuniti dalam talian yang didominasi lelaki.
“Saya rasa dengan memulakan kempen untuk wanita dengan menunjukkan rambut pendek mereka dan juga solidariti kepada atlet Olimpik wanita adalah lebih efektif dalam menangani kedua-dua isu,” katanya.
Difahamkan kalangan anti-feminis ini kebanyakannya adalah lelaki muda selain lelaki yang lebih tua dan juga segelintir wanita.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected].