Ibu, kekasih dipenjara belasah anak sampai mati kerana ganggu sedang ‘berkasih’

Ibu, kekasih dipenjara belasah anak sampai mati kerana ganggu sedang ‘berkasih’

Nicola Priest, dipenjara 15 tahun berikutan kematian Kaylee-Jayde Priest yang ditemui maut tahun lalu di kediaman mereka di flat Solihull, England.

Nicola Priest dan Callum Redfern masing-masing dipenjara 15 dan 14 tahun selepas didapati bersalah menyebabkan kematian Kaylee-Jayde Priest, Ogos tahun lalu.

Seorang ibu dan teman lelakinya dipenjara kerana membunuh anak perempuannya hanya kerana tangisannya mengganggu pasangan yang sedang melakukan hubungan seks itu.

Nicola Priest, 23, dihukum penjara 15 tahun di atas kematian Kaylee-Jayde Priest, 3, yang ditemui maut Ogos tahun lalu di kediaman mereka di flat Solihull, England.

Priest dan kekasihnya, Callum Redfern, 22, yang dipenjara 14 tahun, didapati bersalah kerana melakukan pematian orang. Hakim Foxton berkata, ketika kejadian Kaylee disuruh tidur sekitar jam 7 malam, sementara pasangan itu melakukan seks di bilik Priest.

“Namun seperti kebanyakan kanak-kanak seusianya, Kaylee tidak mahu tidur, sebaliknya mahu terus bermain,” katanya.

“Bengang dengan tangisan Kaylee, yang minta untuk keluar, ia mengganggu masa peribadi kamu berdua. Kamu kemudian hilang sabar dan bersama-sama membelasah anak itu sehingga dia tidak bernyawa lagi.”

Pakar perubatan menyifatkan luka yang dialami Kaylee sama seperti kanak-kanak yang dilanggar kereta atau terjatuh dari pokok atau lantai konkrit. Kaylee juga mempunyai kesan kecederaan lama seperti patah tulang rusuk, retak tulang kaki dan tulang sternum.

Pihak pendakwaan berkata, kelakuan pasangan itu langsung tidak menggambarkan rasa tanggungjawab atau mengambil berat. Malah, 45 hari selepas kematian Kaylee, Priest dengan selamba memuat naik video TikTok dia sedang menari di biliknya.

Jiran tetangga turut menyedari, setiap kali terdengar tangisan Kaylee, ibunya dengan pantas akan menguatkan bunyi radio.

Ibu itu juga didapati bersalah atas kekejaman terhadap anaknya membabitkan kecederaan lama yang dialaminya. Redfern bagaimanapun dibebaskan dari tuduhan itu.

Priest, yang turut dipenjara selama tiga tahun, perlu menjalani hukuman serentak dengan kesalahan kekejaman ke atas kanak-kanak. Redfern dan Priest perlu menjalani dua pertiga daripada hukuman mereka sebelum boleh dibebaskan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.