Orangutan pakai kaca mata hitam undang 30 juta tontonan di TikTok

Orangutan pakai kaca mata hitam undang 30 juta tontonan di TikTok

Video itu memaparkan perlakuan orangutan yang seolah biasa mengenakan kaca mata hitam.

Video TikTok yang tular itu menunjukkan orangutan cuba mengenakan kaca mata hitam milik pengunjung yang terjatuh ke dalam kurungannya.

Pengguna TikTok dikabarkan suka ‘teruk’ dengan sebuah video yang memaparkan gelagat orangutan cuba menggayakan sepasang kaca mata hitam milik pengunjung yang terjatuh secara tidak sengaja ke dalam kurungan primat itu di sebuah zoo di Indonesia.

Pengguna TikTok, Lola Testu yang menggunakan nama @minorcrimes berkongsi video tersebut Ahad lalu dengan keterangan gambar yang tertulis: “Jadi saya kehilangan sepasang kaca mata hitam, tapi berkongsi satu cerita yang menarik.”

Difahamkan sehingga artikel ini disiarkan, video yang tular itu mendapat lebih 30 juta tontonan dan 8 juta tanda suka.

Pada permulaan klip video itu menunjukkan orangutan yang sedang memegang anaknya berjalan ke arah kaca mata tersebut.

Sebaik saja primat itu mengutip objek asing di dalam kurungan tersebut, kedengaran suara Testu berkata “Oh tidak, jangan makan benda tu.”

Menariknya tanpa ragu-ragu, orangutan itu terus memakai kaca mata hitam tersebut sama seperti perlakuan manusia.

Ia kemudian dilihat di bahagian kurungan lain namun kali ini sedang memakai kaca mata hitam dengan cara terbalik.

Anak orangutan kemudian dilihat cuba merampas kaca mata itu, namun dinafikan ibunya.

Video itu berakhir apabila orangutan melemparkan cermin mata hitam tersebut ke arah pengunjung, dan penjaga haiwan membalas dengan memberi snek berupa daun-daun hijau.

Di TikTok dan Twitter, warganet yang mengulas video tersebut rata-rata sangat terpesona dengan kebijaksanaan orangutan yang tahu bagaimana untuk mengenakan sepasang cermin mata hitam.

Menurut World Wildlife Fund, orangutan berkongsi 96.4% gen manusia. Orangutan, yang jatuh dalam kategori kera besar, mampu meniru tingkah laku manusia.

Sebagai contoh, orangutan bernama Rocky adalah yang pertama mampu meniru percakapan manusia pada tahun 2016, lapor BBC Earth ketika itu.

Badan NGO itu menjelaskan berdasarkan data terkini, species orangutan adalah sangat terancam.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.