Bintang TikTok 19 tahun maut insiden tembakan di panggung wayang AS

Bintang TikTok 19 tahun maut insiden tembakan di panggung wayang AS

Anthony Barajas maut selepas insiden tembakan yang turut meragut nyawa sahabatnya Rylee Goodrich, kata polis.

Anthony Barajas, seorang bintang TikTok maut beberapa hari selepas ditembak di sebuah panggung wayang di California, AS. (Gambar Instagram)

Bintang TikTok Anthony Barajas,19, maut beberapa hari selepas ditembak dalam satu insiden tembakan rambang di sebuah pawagam di California.

Barajas, 19, meninggal dunia pada Sabtu lalu yang turut meragut nyawa rakannya Rylee Goodrich, 18, kata polis di Corona, selatan California.

Mangsa ditembak Isnin lalu di sebuah panggung yang sedang menayangkan filem ‘The Forever Purge’, mengenai pemerintahan totalitarian yang membenarkan sebarang jenayah dilakukan pada satu malam dalam setahun, termasuk pembunuhan.

Difahamkan kedua-dua mangsa ditemui kakitangan teater dengan dua kesan tembakan di kepala selepas filem tamat. Goodrich mati di tempat kejadian manakala Barajas dikejarkan ke hospital.

“Berdasarkan bukti yang diperolehi, ia lebih kepada serangan rawak dan tidak diprovokasi,” kata pendakwa raya tempatan dalam satu kenyataan pada hari Jumaat.

Seorang lelaki, Joseph Jimenez, 20, telah ditahan dan didakwa dalam kejadian tembakan tersebut.

Bertindak berdasarkan petunjuk saksi, suspek ditangkap di rumahnya sehari selepas serangan itu.

Polis berkata suspek bertindak sendirian dan tidak mengenali mangsa.

Barajas mempunyai hampir 930,000 pengikut di TikTok dan dia adalah pemain bola sepak yang cukup menonjol di sekolahnya.

Amerika Syarikat amat dikenali dengan sejarah hitam yang tiada noktah membabitkan keganasan senjata api.

Ia termasuk angka kematian harian akibat jenayah tembakan yang berterusan hingga kepada pembunuhan beramai-ramai yang menyasarkan sekolah, tempat kerja dan pusat membeli-belah.

Pada 2012, seorang lelaki bersenjata berat menembak mati 12 orang secara rambang di sebuah panggung wayang di Aurora, Colorado ketika sedang menayangkan filem “The Dark Knight Rises”.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected].

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.