
Siapa kata ‘wardrobe malfunction’ hanya berlaku di karpet merah majlis anugerah atau pentas persembahan membabitkan artis popular sahaja, atlet juga ada hari malang mereka.
Lihat saja apa yang berlaku pada seragam pemenang pingat emas acara triathlon lelaki dari Norway ini.
Kelibat Kristian Blummenfelt mengundang tular apabila seragam yang dipakainya bertukar ‘jarang’ sekali gus mendedahkan susuknya termasuk seluar renang hitam sebaik selesai pusingan renang di Olimpik Tokyo baru-baru ini.
Cuaca di Tokyo yang ketika itu agak panas ditambah keadaannya yang kuyup selepas berenang menonjolkan lagi susuk Blummenfelt selepas seragam putihnya bertukar menjadi jarang.
Menurut satu perkongsian di media sosial, seorang pengulas sukan sempat melawak mengatakan individu yang bertanggungjawab mereka seragam tersebut ‘perlu dipecat’.
“Memanglah ada seluar renang dibawah seragam itu,” tambahnya lagi sambil sempat membandingkan Blummenfelt dengan Superman.
“Superman pakai seluar dalam di luar. Mereka sudah silap, tidak begitu?”
Satu lagi komen berkata: “Siapa yang mereka seragam Norway untuk acara triathlon #TokyoOlympics2021 mungkin terinspirasi dengan Captain Underpants.
“Penamat yang mengagumkan dari Blummenfelt. Jelas sekali, seragam adiwira itu berfungsi!”
Walau apapun komen warganet, apa yang pasti ia tidak sedikit pun meninggalkan bekas buat Blummenfelt yang melepasi garisan penamat dengan penuh bergaya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]