‘Bagai dilahirkan semula pada usia 102’ – veteran perang tewaskan Covid-19

‘Bagai dilahirkan semula pada usia 102’ – veteran perang tewaskan Covid-19

Nikolai Bagayev yang berusia 102, terselamat dari tentera Nazi Jerman dan wabak Covid-19.

Veteran Perang Dunia Kedua, Nikolay Bagayev, 102, meninggalkan hospital setelah sembuh dari Covid-19 di Korolyov, wilayah Moscow, Russia.

Berpantang maut sebelum ajal. Mungkin itulah yang dialami veteran Perang Dunia Kedua Russia, Nikolai Bagayev yang telah dua kali menipu kematian. Namun kali ini, musuhnya bukan tentera Jerman yang menyerang Soviet Union sebaliknya Covid-19.

Bagayev, 102, mengalami 80% kerosakan paru-paru selepas dimasukkan ke hospital di kota Korolyov dekat Moscow akibat Covid-19.

Setelah menghabiskan masa lebih sebulan di hospital, termasuk seminggu di unit rawatan rapi, Bagayev akhirnya dibenarkan keluar pada Khamis lalu.

“Kali terakhir saya berdepan maut ialah pada tahun 1941. Pada masa itu, paru-paru kanan saya cedera semasa pertempuran untuk Moscow. Tetapi ketika itu saya agak muda dan berjaya pulih dengan segera,” katanya kepada Reuters.

“Kali ini, saya banyak disokong oleh doktor walaupun beberapa kali juga saya hampir putus harapan dan semangat. Saya sangat berterima kasih kepada mereka semua.”

Bagayev adalah sebahagian kecil daripada veteran di Rusia yang cukup dihormati kerana peranan mereka menewaskan tentera Nazi Jerman. Pada Mei lalu, dia turut mengambil bahagian dalam perarakan tahunan di Square Parade bersama Presiden Vladimir Putin.

“Dia sememangnya pejuang sejati, dia sering teringat kecederaan lamanya ketika pertempuran Moscow dan kenangan itu membantunya ketika berada di hospital,” kata doktor Bagayev, Valentina Rakitskaya.

Selepas perang, Bagayev bekerja di republik Soviet Kazakhstan di mana dia turut membantu membangunkan kosmodrom Baikonur yang berjaya menghantar Yuri Gagarin, manusia pertama ke angkasa pada tahun 1961.

Menurut Bagayev teknik pernafasan yang dia pelajari dari angkasawan Soviet antara faktor yang membantunya pulih dari Covid-19.

Sebagai anggota yang taat setia kepada parti pembangkang, Komunis Russia, dia merancang untuk membantu mereka berkempen menjelang pilihan raya parlimen pada bulan September ini. Namun, sebelum itu, dia perlu mula berjalan kembali tanpa bantuan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.