
Ada bermacam-macam cara untuk kita berurus niaga dan lazimnya ia membabitkan wang.
Namun, lain pula caranya bagi seorang lelaki di Jakarta, Indonesia yang tular selepas sanggup menukar daging korban yang diterima sempena Hari Raya Aidiladha dengan alat ganti motosikalnya.
Akhbar Suara.com melaporkan, satu hantaran status di laman Facebook mengundang reaksi warganet apabila seorang lelaki memuat naik agihan daging korban sebanyak 13 kilogram (kg) yang diterimanya daripada jiran-jiran.
Menurut kenyataan di laman sosial tersebut, dia membohongi ibunya mengatakan hanya menerima 2kg daging korban.
“Saya beritahu ibu agihan daging yang diterima daripada jiran cuma 2kg, manakala lebihan 11kg lagi saya tukarkan dengan alat ganti motosikal.
“Tidak sangka ada yang mahu lakukan sistem barter alat ganti motosikal menggunakan daging korban,” tulisnya.
Tindakan lelaki itu ternyata mengundang pelbagai reaksi warganet. Rata-rata mengecam malah ada yang berharap alat ganti yang diperoleh adalah palsu.
“Ini ialah spesis orang yang ditunggu paling hadapan di pintu neraka,” tulis seorang warganet.
“Anak yang berbakti, tidak mahu kolesterol emaknya naik tinggi agaknya,” sindir seorang lagi.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected].