Pelukis karikatur Nabi Muhammad SAW, meninggal dunia

Pelukis karikatur Nabi Muhammad SAW, meninggal dunia

Westergaard meninggal dunia pada usia 86 tahun akibat lama menderita sakit.

Kurt Westergaard sering menerima ancaman bunuh selepas menerbitkan karikatur tersebut pada 2005. (Gambar AFP)

Pelukis kartun kelahiran Denmark, Kurt Westergaard, yang pernah membangkitkan kemarahan umat Islam dengan karikatur Nabi Muhammad SAW, meninggal dunia pada usia 86 tahun.

Westergaard meninggal dunia selepas lama menderita sakit, lapor akhbar Berlingske Ahad lalu.

Namanya mula terkenal berikutan karya kontroversi karikatur Nabi Muhammad SAW dalam akhbar tersebut pada 2005.

Ia adalah satu daripada 12 lukisan yang disiarkan oleh akhbar harian konservatif Jyllands-Posten bertajuk ‘The Face of Mohammed’ (wajah Nabi Muhammad SAW), yang sekaligus mencetus kemarahan umat Islam.

Selepas dua minggu, demonstrasi tercetus di Copenhagen yang membantah tindakannya itu dan duta negara-negara Islam di Denmark menyatakan bantahan.

Ia kemudian mencetus protes dan huru-hara di seluruh dunia Islam pada Februari 2006. Kedutaan Denmark diserang dan puluhan lagi terbunuh dalam rusuhan.

Pada 2015, 12 orang terbunuh dalam satu serangan di pejabat majalah satira Charlie Hebdo di Perancis selepas menyiarkan karikatur tersebut.

Selepas penerbitan karikatur tersebut, Westergaard menerima banyak ancaman bunuh dan turut menjadi sasaran cubaan bunuh.

Pada mulanya dia hidup dalam persembunyian, namun memutuskan untuk hidup secara terbuka dengan berkubu di kediamannya sendiri di Aarhus, Denmark.

Pada 2008, perkhidmatan perisikan Denmark mengesahkan penahanan tiga individu yang kemudiannya didakwa merancang pembunuhan Westergaard.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.