Wanita sambut hari jadi maut dihempap 6 skrin karaoke

Wanita sambut hari jadi maut dihempap 6 skrin karaoke

Kejadian berlaku ketika DJ Kelab Gallery cuba menaikkan skrin berkenaan untuk hiburan pengunjung di tingkat satu.

Tatiana Pokhorenko, 35, dilihat menari dipentas sempena meraikan hari jadi bersama rakan-rakan sebelum dihempap skrin karaoke seberat hampir 200 kilogram. (Gambar Sledak)

Seorang wanita maut selepas dihempap enam skrin karaoke ketika sedang meraikan hari jadinya di sebuah kelab malam di bandar Sugut, barat Siberia, Rusia.

Dalam satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Kelab Gallery pada 2018, mangsa yang dikenali sebagai Tatiana Pokhorenko, 35, dilihat menari dipentas sempena meraikan hari jadinya bersama sekumpulan rakan sebelum dihempap skrin karaoke seberat hampir 200 kilogram.

Rakaman itu menunjukkan skrin yang dipasang pada struktur besi dan tergantung di siling sedang dinaikkan sebelum jatuh lebih tujuh meter ke lantai.

Kakitangan, rakan-rakan dan beberapa pengunjung kelab lain dilihat meluru ke arah Tatiana dan terus mengalihkan perancah yang menghempap tubuhnya yang sudah tidak bernyawa lagi.

DJ bertugas, David Skvortsov memberitahu media, dia sedang menaikkan skrin tersebut supaya pengunjung di tingkat satu juga dapat berkaraoke.

“Tapi tiba-tiba, skrin karaoke itu terjatuh dan membunuh wanita tersebut.”

Pemilik kelab malam itu, Semen Kopaigora mengaku bersalah menyebabkan kematian akibat kecuaian.

Dia bagaimanapun terlepas hukuman penjara dan awal minggu ini hukumannya digantung selama tiga tahun.

Difahamkan penguatkuasaan peraturan membabitkan keselamatan agak lemah di beberapa bahagian Rusia.

Tahun lalu, seorang budak lelaki berusia 11 tahun maut dihempap dinding konkrit seberat 2 tan yang tumbang ketika dia sedang bermain di taman permainan di Astrakhan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.