
Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan (NIS) Korea Selatan mengesahkan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, tidak mengalami sebarang masalah kesihatan walaupun berat badannya susut 10 hingga 20 kilogram (kg) sejak beberapa bulan lalu.
Anggota jawatankuasa perisikan parlimen Ha Tae-keung berkata pemimpin itu dilapor dalam keadaan sihat dan “sedang mengamalkan diet” sejak empat bulan lalu, menurut Sputnik memetik Agensi Berita Yonhap pada Khamis.
“Baru-baru ini berat badan (Kim) turun kira-kira 10 hingga 20kg dan masih mentadbir negara seperti biasa,” kata Ha memetik taklimat NIS.
Akhbar Korea Selatan, The Chosun Ilbo sebelum ini melaporkan Kim Jong Un, seorang perokok tegar mempunyai ketinggian 170 sentimeter (5.5 kaki) dan berat badan 140kg.
Media rasmi Korea Utara baru-baru ini mendedahkan, berat badan pemimpin itu susut kerana bekerja keras demi rakyat dan negara.
Negara itu sebelum ini melarang sebarang bentuk perbincangan terbuka mengenai keadaan kesihatan dan kehidupan peribadi pemimpinnya.
Spekulasi mengenai kesihatan Jong Un timbul tahun lalu selepas beliau tidak hadir ke majlis memperingati ulang tahun mendiang datuknya, dan tidak muncul di khalayak selama kira-kira 20 hari.
Ayahnya, Kim Kim Jong-Il dan datuknya, Kim Il-Sung juga perokok tegar yang berbadan gempal.
Kedua-duanya meninggal dunia akibat penyakit berkaitan jantung.
Negara miskin yang cukup berbangga dengan senjata nuklear itu turut bergelut dengan jangkitan Covid-19, dan kini mengakui sedang menangani krisis makanan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]