
Biarpun industri penerbangan semakin suram akibat pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia, namun Syarikat Pokémon cuba menceriakan suasana dengan kehadiran sebuah pesawat serba kuning yang bertemakan watak Pikachu.
Pikachu Jet BC itu diwujudkan dengan kerjasama syarikat terbabit dengan syarikat penerbangan tambang murah Jepun, Skymark.
Ia adalah pesawat pertama Pokémon yang muncul semula selepas kali terakhir pesawat tema sama diterbangkan All Nippon Airways (ANA) pada 2016.
Pesawat comel itu sebenarnya dilancarkan bagi menyambut ulang tahun Pokémon yang ke-25 dan disebabkan itu juga, tempat duduk barisan ke-25 turut mempunyai rekaan istimewa yang dihiasi belon.
Menerusi pelancaran itu, ia melakukan penerbangan rasminya dari Lapangan Terbang Haneda, Tokyo ke Lapangan Terbang Naha di wilayah Okinawa, baru-baru ini.
Jurucakap Syarikat Pokémon menjelaskan, mereka mempunyai kerjasama serupa dengan syarikat penerbangan luar negara termasuk di Singapura iaitu Scoot.
Rekaan dalaman pesawat Pikachu itu dihiasi lengkap dengan pelbagai tarikan buat peminat tegar watak terbabit seperti gambarnya yang mengintai keluar dari salah satu tingkap pesawat.
Ia juga boleh mengundang ‘kegilaan’ kepada peminat apabila gambar Pikachu boleh dilihat pada mana-mana saja bahagian pesawat untuk menyerlahkan lagi tema berkenaan.
Usaha yang dinamakan sebagai ‘Projek Menerbangkan Pikachu’ itu adalah langkah terbaru dilakukan syarikat terbabit bagi merangsang semula industri pelancongan ke Okinawa yang mempunyai tarikan tersendiri.
Selain pesawat, beberapa pengangkutan awam di wilayah itu juga dihiasi dengan watak Pikachu seperti tren monorel dan bas awam bagi menarik pengunjung ke Okinawa selepas penularan Covid-19 semakin reda nanti.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]