
Seorang peguam di Filipina menjadi tular di media sosial kerana menunjukkan sifat terpuji apabila sanggup menerima beberapa ekor ketam daripada anak guam yang tidak mampu membayarnya.
Noel Allen Bose berkongsi kisahnya yang berlaku di Sorsogon itu selepas mewakili anak guamnya dalam pendengaran kes di mahkamah bandar berkenaan.
Disebabkan kurang berkemampuan, anak guamnya terpaksa memberi upah ketam yang baru saja ditangkap kepada Bose sebagai ganti kepada bayaran yuran guaman.
Walaupun ia nampak pelik, tetapi lelaki itu tetap menerima dengan hati yang terbuka sambil memuat naik sekeping fotonya memegang beberapa ekor ketam di Facebook.
Dia juga sempat memuat naik perbualan ringkas antara mereka apabila anak guamnya mengakui tidak mempunyai wang yang cukup untuk membuat bayaran.
Sehingga berita ini ditulis, hantaran Bose sudah mendapat 31,000 perkongsian selain 103,000 reaksi daripada netizen.
Rata-rata netizen yang meninggalkan komen, memuji dan menghormati sikap baik hati ditunjukkan peguam itu.
Tidak lama selepas itu, dia memaklumkan netizen bahawa dia sudah memasak semua ketam terbabit sambil memuat naik sekeping lagi gambar.
“Ketam membuatkan perut saya kekeyangan tetapi reaksi anda semua terhadap hantaran ini membuatkan hati saya gembira.
“Saya juga ingin berterima kasih kepada semua peguam kerajaan dan swasta. Mereka jarang memuat naik hantaran mengenai tugas dan cabaran kerja tetapi peguam ini sebenarnya rajin dan berdedikasi dalam memenuhi janji bagi membantu seluruh rakyat Filipina,” tulisnya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]