
Seorang lelaki di England akan menjalani pembedahan besar untuk membuang buah pinggangnya yang dianggarkan seberat 40 kilogram (kg) selepas menderita akibat penyakit buah pinggang polikistik (PKD).
Warren Higgs yang dijangka menjalani pembedahan itu bulan depan mungkin memerlukan tiga dan empat pembedahan lagi selepas itu selain perlu menjalani rawatan dialisis.
“Penyakit ini sangat teruk. Saya tidak dapat bernafas secara normal kerana ia seperti menekan paru-paru.
“Ia umpama nyawa diambil secara perlahan-lahan. Ia adalah satu pembedahan besar dan amat berisiko,” katanya lelaki berusia 54 tahun dari Windsor itu.
Menurutnya, doktor bedah memaklumkan bahawa saiz buah pinggangnya lebih besar berbanding pemegang rekod yang memiliki buah pinggang terbesar dunia.
Pada 2017, seorang lelaki di Dubai dicatatkan sebagai pemegang rekod itu oleh Guinness World Records selepas doktor berjaya mengeluarkan buah pinggangnya seberat 4.25 kg.
Dua tahun kemudian, sekumpulan doktor bedah dilaporkan berjaya menjalankan pembedahan bagi mengeluarkan buah pinggang seberat 7.4 kg daripada tubuh seorang pesakit di India.
Sementara itu, menurut laman sesawang GoFundMe, PKD turut menyebabkan Higgs mengalami beberapa serangan angin ahmar dan aneurisma dalam tempoh 15 tahun.
Higgs berkata, sebelum ini dia begitu aktif berbasikal dan menyertai triathlon sebelum disahkan menghidap penyakit berkenaan.
Katanya, dia rindu untuk menyertai pelbagai acara sukan bersama anak lelaki yang berusia 19 tahun, Sebastian selain pernah merancang mengambil bahagian dalam perlumbaan halangan, Spartan Race.
“Saya ingin kembali sihat dan berbasikal serta menyertai perlumbaan halangan itu bersama anak lelaki,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]