
Seorang bapa sanggup berbuat apa saja untuk anaknya bagi memastikan makan, minum, pendidikan serta kebajikan mereka sentiasa terjaga.
Begitu juga kisahnya di India apabila bapa di Karnataka sanggup memayungkan anaknya di tepi jalan ketika hujan lebat semata-mata bagi membolehkan remaja itu mengikuti kelasnya secara maya.
Gambar yang menjadi tular di media sosial itu menyentuh hati netizen yang melihat kesungguhan lelaki terbabit dalam memastikan anak perempuannya tidak ketinggalan dalam pelajaran.
Remaja itu terpaksa duduk di kawasan pembahagi jalan sambil melihat telefon bimbitnya.
Pada masa sama, ia menunjukkan kesukaran pelajar yang tinggal di kampung Balakka, Sullia Taluk untuk mendapatkan capaian internet bagi membolehkan mereka mengikuti pelajaran di rumah.
Keadaan itu menyebabkan ramai pelajar di kampung berkenaan terpaksa keluar untuk mencari lokasi yang mempunyai liputan dengan kelajuan sepatutnya.
Disebabkan itu, pelajar di daerah Dakshina Kannada itu terpaksa meredah hujan hingga lencun demi mencari ilmu.
Manakala seorang mahasiswa yang sedang melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda, Udit Shyam berkata, perkara itu amat menyusahkannya memandangkan kuliah hanya dijalankan secara maya.
Katanya, kampung itu langsung tidak mempunyai liputan internet menyebabkan pelajar terpaksa keluar beramai-ramai mencari liputan.
“Kami mengikuti pengajian secara atas talian. Ketika pandemik Covid-19, terdapat kira-kira 30 hingga 40 pelajar datang ke sini untuk mencari liputan internet dan mendengar kuliah.
“Malah pada musim hujan pun, kami duduk di sini bermula jam 9 pagi hingga 1 petang. Selepas waktu makan tengah hari, kami kembali ke sini semula,” luahnya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]