
Sudahlah menyusahkan, seorang lelaki cuba pula menghina bekas isterinya dengan meninggalkan 80,000 keping wang syiling di halaman rumah wanita itu sebagai bayaran nafkah terakhir anak mereka berusia 18 tahun.
Kejadian dilaporkan berlaku di Virginia, Amerika Syarikat apabila lelaki terbabit membawa semua wang syiling berjumlah $800 (RM3,286) menggunakan treler sebelum membuangnya di kawasan berkenaan.
Berdasarkan satu rakaman video, dia dengan selamba mengosongkan treler terbabit dan terus meninggalkan rumah bekas isterinya tanpa rasa bersalah.
Pada mulanya, wanita itu tidak tahu bahawa pemandu treler sebenarnya adalah suaminya dan sempat bertanyakan mengenai tindakannya ketika cuba beredar sebelum lelaki terbabit menjawab ia adalah bayaran penjagaan anak mereka.
Dia kemudiannya terpaksa meminta bantuan anaknya, Avery Sanford dan beberapa orang jiran untuk mengutip wang syiling tersebut dengan menggunakan alat penyodok.
“Ayah bukan saja cuba memalukan ibu tetapi saya dan kakak juga. Ia amat mengecewakan apabila dia tidak memikirkan perbuatannya sebelum melakukan perkara seperti ini,” kata Sanford.
Dua beranak itu bagaimanapun memanfaatkan wang syiling berkenaan dengan mendermakannya kepada sebuah pertubuhan kebajikan, Safe Harbor Shelter yang melindungi mangsa keganasan domestik.
Pengarah Eksekutif Safe Harbor, Cathy Easter memuji tindakan mereka yang tetap bersikap positif biarpun melalui pengalaman tidak menyenangkan itu.
“Mereka masih mampu menunjukkan sikap positif daripada pengalaman buruk yang dilalui. Mereka mencari kaedah terbaik untuk memanfaatkannya daripada terus dibelenggu dengan rasa marah,” katanya.
Sejak kes itu dilaporkan media, Safe Harbor menerima lebih banyak sumbangan daripada orang ramai yang mencecah $5,000 (RM20,540).
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]