
Seorang pembida misteri membayar sebanyak $28 juta (RM115 juta) untuk mengikuti pengembaraan ke angkasa lepas bersama Jeff Bezos menerusi penerbangan pertama dilancarkan syarikat milik bilionair itu, Blue Origin pada bulan depan.
Bidaan itu dibuat menerusi acara lelongan pada Sabtu lalu apabila sekumpulan 20 pembida bersaing merebut peluang keemasan berkenaan dalam siaran langsung selama 10 minit.
Baru-baru ini, pengasas Amazon itu mendedahkan bahawa dia dan adiknya Mark, akan mengikuti penerbangan ke angkasa lepas pada 20 Julai depan dengan menaiki kapsul ‘New Shepard’ yang baru dilancarkan.
Dua beradik terbabit akan turut disertai oleh pembida misteri berkenaan yang sehingga kini identitinya masih dirahsiakan.
“Nama pemenang bidaan dalam acara lelongan itu akan dikeluarkan dalam beberapa minggu lagi.
“Kemudian, krew keempat dan terakhir akan diumumkan. Jangan lupa nantikannya,” tulis Blue Origin menerusi satu ciapan di Twitter.
Sehingga Khamis lalu, jumlah bidaan dilaporkan sudah mencecah $4.8 juta (RM19.72 juta).
Hasil bidaan itu akan disalurkan ke yayasan Blue Origin, Club for the Future yang bermatlamat untuk memberi inspirasi kepada generasi muda meneruskan kerjaya dalam bidang bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Perjalanan New Shepard ke angkasa lepas dijangka mengambil masa 10 minit sebaik berlepas dari kawasan padang pasir di barat Texas.
Semua penumpang akan dibawa mengelilingi garisan Karman yang menjadi sempadan antara atmosfera bumi dan ruang angkasa lepas.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]