
Misteri kesakitan yang dialami oleh seorang wanita selepas menjalani pembedahan akhirnya terjawab dengan penemuan sebilah gunting yang tertinggal dalam perutnya, dalam satu kejadian di Ankara, Turki.
Kejadian dikatakan berlaku selepas ibu tujuh anak, Nurcihan Ogmen, 61, menjalani satu pembedahan untuk membuang lebihan kulit perut di sebuah hospital swasta di Kusadasi pada 5 Mac lalu.
Media tempatan AHaber melaporkan, dia menjalani pembedahan itu selama lima jam sebelum dibenarkan keluar hospital pada hari berikutnya.
Bagaimanapun, tidak lama selepas itu wanita terbabit mengadu sakit akibat bengkak pada bahagian perut sebelum merujuk kembali hospital berkenaan.
Apa yang mengecewakan, doktor bedahnya hanya memberitahu kesakitan dialaminya itu adalah perkara normal dan ia akan hilang dalam tempoh terdekat.
Kesakitan yang berterusan selama dua bulan menyebabkan dia membuat keputusan untuk menjalani pemeriksaan di hospital lain bersama suami, Kubdettin Ogmen.
Sebaik melakukan imbasan sinar-X, mereka terkejut apabila melihat sebilah gunting yang tertinggal dalam perut.
Alatan tajam itu berjaya dikeluarkan menerusi satu pembedahan yang memakan masa selama dua jam.
“Selepas pembedahan itu, kesakitan saya menjadi semakin teruk hingga terpaksa pergi ke hospital melakukan pemeriksaan hampir setiap minggu.
“Doktor pula tidak mempercayai saya dan hanya menyuruh saya pulang ke rumah. Dia tidak berminat untuk mendengar masalah yang saya alami.
“Saya masih berasa sakit dan belum pulih sepenuhnya,” katanya.
Susulan kejadian itu, Nurcihan memfailkan aduan kecuaian kepada pihak berkuasa mengenai tindakan doktor bedah, pentadbiran hospital serta beberapa kakitangan terbabit.
Pihak hospital dan doktor itu bagaimanapun tidak memberi sebarang komen terhadap kes berkenaan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]