
Selepas hampir dua dekad hidup terkurung dalam sangkar besi, seorang lelaki yang mempunyai masalah mental akhirnya dibebaskan untuk menerima rawatan di hospital.
Kejadian itu berjaya dihidu oleh sekumpulan wartawan tempatan di Mongolia Dalam minggu lalu, sebelum mereka membuka sangkar dihuni Xiao Guo, 37, dan menghantarnya ke hospital.
Dia dikurung oleh bapanya sendiri, Lao Guo, yang tidak tahan dengan sikap ganas anaknya hingga cuba membakar rumah mereka sendiri di Hohhot.
Lelaki terbabit pernah berusaha untuk merawat anaknya yang ketika itu berusia 20 tahun dengan membawanya bertemu beberapa doktor tempatan, selepas dia mengejar salah seorang ahli keluarga menggunakan pisau.
Menurut keluarga itu, mereka tidak ada pilihan lain untuk mengawal keadaan kecuali hanya dengan mengurungnya dalam sebuah sangkar besi selama 17 tahun.
Biarpun nampak agak keterlaluan, namun mereka berpendapat ia sekurang-kurangnya dapat menghalang Xiao Guo daripada melakukan sebarang jenayah.
“Xiao sebenarnya adalah seorang pemuda yang amat bijak sehinggalah dia mengalami masalah kesihatan. Keadaan itu menyebabkan kami terpaksa mengurungnya,” kata Lao.
Menurutnya, Xiao pernah bertugas sebagai guru sebaik tamat belajar sebelum sikapnya bertukar menjadi terlalu agresif.
“Kadangkala dia akan bertindak ganas namun saya tetap bimbang sekiranya dia melakukan jenayah dalam keadaan yang tidak sedar,” katanya sambil menjelaskan Xiao ditinggalkan ibu sejak berusia 10 tahun.
Keadaan hidup yang miskin juga menyebabkan mereka tidak mampu untuk menanggung kos perubatan bagi merawat penyakit mental dialaminya itu.
Bagaimanapun, sehingga kini, doktor masih belum mengesahkan penyakit sebenar dialami untuk meneruskan rawatan lanjut.
Kempen mengutip derma untuk membantu menanggung kos rawatan sudah dilakukan yang setakat ini berjaya mengumpul sebanyak 30,000 yuan (RM19,331).
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]