‘Nenek Super’ sertai lebih 100 acara marathon

‘Nenek Super’ sertai lebih 100 acara marathon

Wang Lang yang berusia 70 tahun menjadi pelari tegar jarak jauh sejak dua dekad lalu.

Wang Lang masih gigih menyertai pelbagai acara marathon yang dianjurkan.

Seorang wanita China berusia 70 tahun digelar sebagai ‘Nenek Super’ apabila berjaya menghabiskan lebih 100 larian marathon sejak terjebak dengan dunia larian dalam tempoh dua dekad lalu.

Wang Lang yang juga pelari jarak jauh tegar itu membuktikan usia bukanlah penghalang baginya untuk melakukan aktiviti berkenaan yang bermula sejak berusia 50 tahun.

Pada awalnya, dia yang menetap di Liaoning itu menyertai acara larian marathon kerana ingin menjaga badan namun lama-kelamaan aktiviti itu menjadi hobinya selepas bersara.

Acara pertama marathon yang disertainya adalah pada 2004 dan sejak itu dia tidak pernah kenal erti penat dan menyertai pelbagai acara marathon lain yang dianjurkan.

Lebih membanggakan apabila dia berjaya mencipta rekod baru sebagai individu tertua menghabiskan acara marathon Liaoning sejauh 168 kilometer dalam tempoh 40 jam pada tahun ini.

Selain itu, Wang pernah menghabiskan acara Marathon Beijing selama 13 kali sejak 2005 hingga 2017.

“Usia wanita ini sama seperti nenek saya. Bagaimana dia boleh berlari dengan begitu laju? Ia sungguh menakjubkan,” tulis seorang pelari di akaun Twitter selepas melihat Wang menghabiskan larian marathon Liaoning pada April.

Ia adalah kali kedua Wang menyertai acara itu selepas menyertai larian sama sejauh 110 kilometer bersama rakan baiknya.

Ketika itu, dia sanggup menunggu rakannya hampir enam jam supaya mereka dapat tiba ke garisan penamat bersama-sama, namun kali ini dia memilih untuk lari secara bersendirian dengan memilih jarak paling jauh.

Agensi berita Sina mendedahkan rutin latihan Wang terdiri daripada larian sejauh 20 kilometer yang dilakukan enam hari seminggu manakala pada hari Ahad pula dia berlari bersama rakan kelab larian jarak jauh.

Wang lebih gemar melakukan lariannya di jalan gunung berbanding laluan biasa tetapi ia terhalang setiap kali tibanya musim sejuk di Liaoning.

“Secara puratanya, setiap tahun dia berlari selama tujuh bulan di jalan gunung dan lima bulan di jalan raya,” lapor agensi itu.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.