Pasangan Jepun cuba masak rendang, lemang dan biskut Cornflakes madu

Pasangan Jepun cuba masak rendang, lemang dan biskut Cornflakes madu

Menerusi saluran iChang RM di YouTube, pasangan ini mencuri perhatian ramai dengan mencuba resepi daripada Che Nom dan Azlin Bloor.

YouTuber warga Jepun ini sering mencuba resepi dari Malaysia. (Gambar YouTube)

Bagi sesiapa yang gemar mengikuti video makanan serta masakan di YouTube pasti mengenali pasangan suami isteri warga Jepun ini menerusi saluran iChang RM.

Makanan dari Malaysia begitu dekat di hati mereka apabila pasangan yang menetap di Hong Kong itu sering mencuba resepi berdasarkan video dimuat naik YouTuber tempatan.

Mereka sebelum ini pernah mencuba untuk menghasilkan resepi kari ayam seperti yang pernah dikongsikan di channel YouTube Sugu Pavithra.

Tiga hari lalu, pasangan itu memuat naik video terbaharu mereka dengan cuba memasak beberapa hidangan yang biasa dinikmati pada Hari Raya seperti rendang daging, lemang serta biskut Cornflakes madu.

Berdasarkan keterangan pada video itu, mereka mengambil resepi rendang dan biskut cornflakes daripada YouTuber masakan terkenal, Che Nom manakala lemang pula daripada saluran Azlin Bloor.

Video berdurasi 25 minit itu menampilkan pasangan itu melakukan setiap proses masakan dengan teliti bersama bahan masakan yang begitu lengkap.

Mereka menunjukkan satu persatu proses yang dilakukan termasuk memarut kelapa dengan menggunakan alat pemarut sendiri.

Rata-rata netizen yang menonton video terbabit berasa kagum dengan kegigihan mereka menyiapkan hidangan tradisional biarpun ia mengambil masa agak lama.

Malah, kebanyakannya memberi sokongan kepada mereka terutama apabila dilihat mempunyai kesabaran yang begitu tinggi menunggu makanan itu siap.

Tidak kurang juga yang sempat berseloroh mengatakan mereka sanggup memasak makanan Jepun yang lebih ringkas berbanding menghabiskan masa berjam-jam lamanya untuk memasak rendang.

“Saya orang Melayu tetapi lebih rela memasak makanan Jepun berbanding makanan Melayu kerana terdapat banyak proses yang perlu dilakukan,” tulis seorang netizen.

Menerusi video itu juga, ibu pasangan ini yang kali pertama mencuba rendang daging bersama lemang turut teruja dan amat menikmati hidangan Melayu tersebut.

Selain itu, warga Jepun terbabit sempat mengagihkan bungkusan makanan yang dimasak kepada beberapa rakan warga Malaysia di sana.

Sehingga kini, video yang berjaya mencuri perhatian ramai itu sudah mendapat 150, 873 tontonan dengan 18,000 tanda suka.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.