‘Hero’ selamatkan kanak-kanak nyaris digilis keretapi

‘Hero’ selamatkan kanak-kanak nyaris digilis keretapi

Mayur Shelke sanggup membahayakan nyawa demi menyelamatkan seorang kanak-kanak yang tergelincir di atas landasan sedang keretapi menuju ke arahnya.

Rakaman CCTV yang menunjukkan kejadian cemas di Stesen Keretapi Vangani, India. (Gambar Newslions/ SWNS)

Seorang pekerja landasan keretapi di India wajar digelar ‘hero’ sebenar apabila sanggup membahayakan nyawa sendiri demi menyelamatkan seorang kanak-kanak daripada digilis keretapi.

Kedua-duanya bernasib baik apabila sempat keluar dari landasan hanya selang beberapa saat sebelum ketibaan keretapi terbabit.

Kejadian dipercayai berlaku pada Sabtu lalu apabila seorang kanak-kanak secara tiba-tiba terjatuh di atas landasan ketika keretapi sedang menghampirinya.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Stesen Keretapi Vangani di barat India, kanak-kanak tersebut kelihatan berjalan bersama seorang lelaki sebelum tiba-tiba dia berjalan ke arah tebing landasan untuk melihat keretapi yang datang ke arah mereka.

Tidak lama kemudian dia tergelincir ke landasan menyebabkan lelaki yang menemaninya berada dalam keadaan terpinga-pinga kerana tidak tahu apa perlu dilakukan.

Secara kebetulan, kejadian cemas itu disaksikan oleh seorang pekerja landasan yang bertindak pantas berlari ke arah mangsa untuk menyelamatkannya.

Tanpa memikirkan soal nyawa sendiri, Mayur Shelke nekad untuk menyelamatkan kanak-kanak itu dengan menolaknya semula naik ke atas landasan.

Tindakan beraninya itu menjadi tular di media sosial selepas Kementerian Pengangkutan Keretapi berkongsi video berkenaan.

“Di Stesen Keretapi Vangani, Mayur Shelke menyelamatkan nyawa kanak-kanak dalam tempoh yang pantas.

“Dia mengancam nyawa sendiri untuk menyelamatkannya. Kita memberi pujian ke atas keberanian serta dedikasi terhadap tugasnya,” tulis kementerian itu.

Pada masa sama, menterinya, Piyush Goyal turut menyampaikan pujiannya secara peribadi kepada lelaki tersebut.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.