Lamar kekasih guna bitcoin bernilai RM451,167.80

Lamar kekasih guna bitcoin bernilai RM451,167.80

Lelaki di Indonesia melamar kekasihnya dengan cara unik.

Raja Muhammad Hasbi dan Bau Tenri Abeng melangsungkan perkahwinan baru-baru ini. (Gambar Facebook)

Kita sudah terlalu biasa mendengar seorang lelaki melamar kekasih hati sama ada dengan sejambak bunga mawar atau lebih mewah lagi dengan sebuah rumah atau kereta.

Hadiah seperti itu pun sudah cukup membuat kejutan untuk pasangan sebagai tanda simbolik dan kasih sayang.

Namun, seorang lelaki di Indonesia memilih kaedah di luar kotak apabila melamar pasangan menggunakan mata wang digital atau bitcoin.

Mungkin ingin disesuaikan dengan zaman teknologi canggih ketika ini, lelaki dari Riau itu, Raja Muhammad Hasbi, 47, membuat lamaran unik itu terhadap Bau Tenri Abeng, 31.

Ia dilakukan menerusi satu majlis yang diadakan di Makassar pada 6 April lalu dan selang sehari kemudian, kedua-duanya melangsungkan akad nikah, lapor news.detik.com.

Kisah itu menjadi tular di media sosial selepas pengacara majlis terbabit, Mismaya Alkhaerat membuat satu hantaran di akaun Facebooknya.

Menerusi hantaran yang dikongsi itu, dia memaklumkan bahawa lelaki terbabit datang ke majlis berkenaan dengan membawa hantaran berupa dua keping bitcoin bernilai kira-kira 1.6 bilion Rupiah (anggaran RM451,167.80).

“Ya betul, Puan Tenri dilamar dengan dua bitcoin sebagai wang hantaran. Satu bitcoin harganya 800 juta Rupiah (RM225,583.80), selain itu mahar tiga keping emas, sepasang barang kemas dan satu set kelengkapan solat,” katanya.

Menurut pengantin wanita, dia dan suami sebenarnya sering melakukan pelaburan menggunakan bitcoin.

“Kebetulan saya dan suami sering membuat pelaburan menggunakan bitcoin sejak 2009 dan mempunyai simpanan di akaun,” katanya.

Katanya, dia tidak mahu dua keping bitcoin itu dicairkan sebaliknya terus dimasukkan ke akaun miliknya.

“Saya memang tidak minta ia dicairkan tetapi terus dimasukkan ke akaun saja,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.