
Tinggalan topeng emas menjadi penemuan terbesar artifak berusia 3,000 tahun yang ditemui di sebuah tapak arkeologi di wilayah Sichuan, China.
CNN melaporkan, topeng seberat 280 gram itu dianggarkan mempunyai 84 peratus kandungan emas dan digunakan sebagai topeng upacara rasmi.
Menurut Pentadbiran Warisan Budaya Kebangsaan China, ia adalah salah satu daripada 500 barangan di enam lokasi upacara korban yang baru ditemui.
Penemuan itu dilakukan di Sanxingdui iaitu kira-kira 4.6 batu persegi di luar ibu kota wilayah Chengdu.
Beberapa pakar arkeologi berpendapat, ia mungkin petunjuk kepada kewujudan negara purba Shu, iaitu kerajaan yang memerintah Lembangan Sichuan barat ketika ditakluk pada 316 sebelum Masihi.
Selain topeng emas, mereka turut menemui gangsa, keranjang emas serta beberapa artifak diperbuat daripada gading, batu jed dan tulang.
Enam lokasi upacara korban berkeluasan 205 kaki persegi itu turut menempatkan sebuah kotak kayu yang tidak pernah dibuka dan barang gangsa dengan bentuk burung hantu.
Sejak 1920an, lebih 50,000 artifak purba berjaya ditemui di Sanxingdui apabila seorang petani secara tidak sengaja menemui beberapa barangan di tapak terbabit.
Penemuan besar bermula pada 1986 apabila dua lokasi upacara ditemui bersama lebih 1,000 barangan termasuk topeng gangsa masih dalam keadaan baik.
Selepas aktiviti menggali terhenti dalam tempoh yang lama, lokasi ketiga ditemui pada akhir 2019 sekali gus menjadi petunjuk kepada pencarian lima tahun selepas itu.
Pakar percaya, lokasi itu digunakan sebagai upacara korban berdasarkan penemuan banyak barangan yang dibakar secara ritual.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]