
Orang sering berkata, ‘di sebalik setiap ujian yang kita lalui, pasti ada hikmahnya’. Bagi situasi pandemik Covid-19 yang sedang kita hadapi, boleh dikatakan hikmahnya adalah digitalisasi pelbagai industri telah dipercepatkan.
Setiap industri telah menyesuaikan diri dengan bisnes digital dengan cara tersendiri. Malah, sesetengah sektor seperti F&B dan peruncitan lebih menguntungkan daripada yang lain kerana industri ini telah menceburi transaksi dalam talian sebelum pandemik lagi.
Industri lain pula masih dalam fasa percubaan, dan dengan adanya lawatan maya, pasaran hartanah nampaknya sedang menuju ke arah yang betul.
Ekoran dari perintah kawalan pergerakan (PKP) dan langkah berjaga-jaga secara umum, perunding serta ejen hartanah telah berpindah ke platform digital, di mana mereka boleh menjalankan urus niaga tanpa perlu berjumpa dengan pelanggan secara bersemuka.
Perunding hartanah Vivahomes, Haniza Hadi memberitahu Property Advisor bahawa penghijrahan ke arah digital terdapat baik dan buruk, tetapi secara amnya, urus niaga hartanah secara dalam talian tidak banyak bezanya dari urus niaga tradisional sebelum wujudnya Covid-19.
“Bagi projek baharu, ini bukan perkara baru kerana sesetengah pemaju memang menyediakan pilihan lawatan maya, selain dari showroom. E-brosur juga telah tersedia. Untuk rumah subsale pula, lebih banyak usaha diperlukan, namun tidak sukar dijual,”
Dalam penjualan rumah subsale secara maya, kamera berkualiti tinggi memainkan peranan yang penting. Oleh kerana gambar dan video merupakan satu-satunya rujukan untuk bakal pembeli, ianya penting untuk menangkap sebanyak perincian yang mungkin supaya pembeli tidak rasa tertipu apabila melihat hartanah sebenar.
Oleh itu, ejen perlu mendokumentari dari bahagian luar hingga pintu hadapan secara teliti, termasuklah setiap satu bilik dalam rumah tersebut.

“Setiap ejen mempunyai gaya tersendiri. Ada sesetengah menggunakan cara ‘walkthrough’, ada yang berdiri di tengah-tengah bilik dan mengambil video 360.
“Semua mengikut kreativiti masing-masing. Yang penting, bakal pembeli mendapat bayangan jelas mengenai susun atur rumah tersebut,” kata Haniza.
Selain daripada bahagian luar dan dalam rumah, ejen juga akan mengambil video kawasan sekeliling dalam radius 2km.
“Selalunya, bakal pembeli sudah biasa dengan kawasan kejiranan, jadi lawatan maya untuk seluruh kawasan tidak diperlukan. Lagipun, bakal pembeli boleh melawat kawasan tersebut dan menerokai kemudahan yang berdekatan,” jelasnya.
Untuk penjualan rumah subsale secara maya, seorang ejen juga akan menyediakan pembentangan PowerPoint yang berisikan susun atur rumah, ukuran tepat serta urus niaga terkini dalam kawasan tersebut untuk membuat perbandingan harga.
Memandangkan bakal pembeli tidak dapat menghadirkan diri ke rumah tersebut secara fizikal, semuanya harus dimasukkan dalam pembentangan ejen tersebut.
“Ketelusan adalah kunci kepada urus niaga secara maya. Jika semua dokumen dan perincian telah lengkap, memang senang untuk meyakinkan pembeli dan tutup jualan,” ujar Haniza.
Salah satu kelebihan lawatan maya adalah penjimatan masa. Bahkan untuk projek baharu, pemaju boleh menjimat kos kerana tidak perlu membina bilik pameran. Seorang ejen boleh berunding dengan lebih banyak pelanggan dalam sehari, selain dari penjimatan duit minyak untuk bergerak dari satu rumah ke satu rumah.
Namun, jika seorang pembeli ingin melihat rumah dengan mata sendiri, ia boleh diaturkan dengan mudah.
“Kita boleh keluarkan surat tawaran untuk bakal pembeli, dan surat ini boleh digunakan untuk merentas daerah. Semasa PKP, bakal pembeli masih diberikan kebenaran untuk merentas dan melihat hartanah yang ingin dibeli secara berdepan.
“Secantik mana pun atau setinggi mana pun definisi gambar dan video yang disediakan, ia tetap tidak dapat dibandingkan dengan melihatnya dengan mata sendiri, terutamanya untuk rumah subsale,” jelasnya lagi.
Norma baharu dalam urus niaga hartanah ini juga berfungsi sebagai penapis untuk menganggar minat seorang pembeli. Usaha seorang pembeli untuk melawat hartanah di saat PKP yang menyukarkan pergerakan merupakan pengukur yang bagus tentang kesungguhan mereka untuk membeli hartanah tersebut.

Pada masa yang sama, kesulitan dalam melihat hartanah sebenar boleh membawa kepada efek yang bertentangan dan akhirnya bakal pembeli hilang minat untuk membeli hartanah tersebut.
Manipulasi digital kini merata-rata – dari model yang sempurna hingga iklan makanan yang memberi harapan palsu – jadi tidak menghairankan jika bakal pembeli tidak yakin dengan gambar dan video yang diambil.
“Kadang-kala, pencahayaan yang berbeza sudah memadai untuk menukar imej sesebuah hartanah,” kata Haniza berdasarkan pemerhatiannya.
Gambar rumah yang kelihatan lain dari rumah sebenar, boleh menimbulkan kesalahfahaman, walaupun perbezaannya sedikit sahaja.
“Pada akhirnya, lawatan secara maya ini hanyalah sebuah medium. Ia semua bergantung kepada hartanah itu sendiri serta niat dan kemampuan pembeli.
“Seperti urus niaga tradisional, jenis rumah, lokasi, kemudahan dan lain-lain kriteria dalam senarai semak bakal pembeli tetap memainkan peranan yang besar.
“Tak kira lah secara maya atau teknologi baharu, sekiranya sesebuah hartanah itu tidak menepati kehendak pembeli, kita tetap tidak boleh meyakinkan pembeli tersebut,” ujarnya.
Haniza juga menjelaskan bahawa lawatan maya telah menjadi popular kerana keadaan semasa dan bukan kerana ianya lebih bagus dari urus niaga tradisional.
“Pandemik ini telah mempercepatkan evolusi dan digitalisasi pasaran hartanah. Malah, setelah pandemik berakhir, amalan ini bermungkinan tinggi akan diteruskan. Kini, kita hidup dalam norma baharu dan kita harus menyesuaikan diri dengan sewajarnya,” katanya lagi.
Artikel ini ditulis oleh Adlene Hanna dari PropertyAdvisor.my, sumber data dan analitik hartanah serta pemberi pendapat yang paling komprehentif di Malaysia.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]