Hilangkan stres sambil belai biri-biri

Hilangkan stres sambil belai biri-biri

Sebuah ladang di Jerman membenarkan orang ramai membelai biri-biri secara bebas untuk menghilangkan stress akibat Covid-19.

Orang ramai boleh menghilangkan stres akibat Covid-19 dengan membelai biri-biri. (Gambar Reuters)

Semua orang tahu bagaimana pandemik Covid-19 memberi kesan terhadap psikologi apabila terpaksa duduk terperuk di rumah untuk tempoh yang lama.

Lebih tertekan lagi apabila ada yang tidak dapat bersua muka dengan ibu bapa dan ahli keluarga tersayang kerana menjalani tempoh kuarantin yang panjang.

Jika tidak ditangani dengan baik, ia dibimbangi akan mengundang kesan lebih teruk seperti kegelisahan serta kemurungan.

Sebab itu, seorang pengusaha ladang di Jerman mengambil pendekatan berbeza membantu orang ramai menghilangkan stres akibat Covid-19 dengan memberi peluang mereka membelai biri-biri.

Lexa Voss yang menjalankan program pendidikan di ladang berhampiran Hattingen, barat Jerman berkata, orang ramai digalakkan untuk mendekatkan diri dengan haiwan yang dilihat boleh membantu mereka melupakan seketika situasi pandemik.

Menurutnya, mereka juga boleh bergerak bebas di ladang terbabit tanpa perlu risau mengenai pemakaian pelitup muka serta penjarakan sosial dengan orang lain.

“Kita mempunyai banyak biri-biri di ladang ini yang menunggu kedatangan pengunjung.

“Saya benarkan orang ramai untuk datang melawat ke sini tanpa pengawasan sesiapa dan luangkan masa bersama haiwan ini.

“Ia memberi peluang kepada mereka untuk meluangkan masa dengan sebaiknya sambil membelai biri-biri dan tidak perlu risau mengenai pemakaian pelitup muka serta penjarakan sosial kerana ia agak terasing dengan orang lain,” katanya.

Orang ramai yang ingin mengunjungi ladang terbabit perlu membuat temu janji namun mereka boleh membelai haiwan itu secara dekat tanpa ditemani sesiapa.

Mereka juga tidak akan dikenakan sebarang bayaran walaupun pengunjung digalakkan untuk menderma kepada ladang berkenaan.

Seorang pengunjung, Therese Pfeffer berkata, dia begitu seronok apabila dapat mendekati haiwan berkenaan.

“Sebelum ini saya hanya berjalan di padang rumput dan biri-biri ini hanya melarikan diri. Di sini agak berbeza dan saya amat seronok,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.