
Sekumpulan monyet menunjukkan aksi mereka apabila dengan selambanya meluncur pada beberapa wayar elektrik di sekitar kawasan Udaipur, India.
Daily Mail melaporkan, gelagat haiwan terbabit berjaya dirakam ketika cuba bergerak dari satu bangunan ke satu bangunan lain.
Menerusi video tersebut, monyet berkenaan turut menunjukkan kemahiran mereka mengimbangkan badan supaya tidak terjatuh dari bangunan tinggi terbabit.
Kelihatan sekumpulan haiwan bijak itu pada mulanya duduk di atas bumbung sebuah bangunan tinggi ketika cuba untuk menyeberang ke bangunan sebelah.
Manakala monyet pertama mula mengambil giliran berpegang pada wayar dan terus meluncur seperti bermain di taman permainan.
Ia mengibas-gibas ekornya tanda gembira dan sebaik berjaya mengimbangi badan, ia terus meluncur menggunakan bahagian perutnya.
Haiwan itu kadangkala memandang ke bawah mungkin kerana risau terjatuh namun berjaya menyeberang dengan selamat.
Selepas melihat rakannya itu, seekor lagi monyet cuba menunjukkan kemahiran lebih ‘hebat’ apabila ia meluncur ke belakang pula.
Ada di kalangan monyet berani itu sempat menoleh ke arah kamera dan berhenti di pertengahan wayar elektrik tersebut.
Bagaimana pun, perbuatan haiwan itu secara jelasnya amat berbahaya dan boleh menyebabkan kematian.
Pada Januari lalu, satu rakaman menyedihkan menunjukkan seekor monyet dirawat oleh doktor verterinar kerana melecur teruk dan hilang penglihatan kerana terkena renjatan elektrik di Thailand.
Kejadian berlaku di wilayah Ratchaburi apabila haiwan itu terkena renjatan dari kotak transformer pada tiang elektrik, 3 Januari lalu.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]