
Seorang gadis digelar sebagai ‘Rapunzel Jepun’ apabila mempunyai rambut panjang mengurai mencecah lantai kerana tidak pernah memotongnya selama 15 tahun.
Rin Kambe mempunyai rambut berukuran lebih 190 sentimeter dan tidak pernah digunting sejak dia berusia 20 tahun, ketika meneruskan cita-cita sebagai model dan penari, lapor Daily Mail.
Menurut Rin, dia mempunyai rutin harian penjagaan rambut yang lengkap bagi memastikan ia sentiasa dalam keadaan baik.
Model dari Tokyo itu berkata, dia tidak menafikan proses untuk menjaga rambut panjang seperti itu bukan perkara mudah kerana perlu menggunakan krim kulit kepala diperbuat daripada saffron selain mengambil zat besi mencukupi.
Malah, rambut panjang itu dianggap sebagai aset dia mengekspresikan diri ketika melakukan tarian.
“Ada orang di dunia ini menghargai ciri-ciri rambut panjang seperti saya tetapi ada juga yang berpandangan ia seperti rambut hantu.
“Sebenarnya terdapat banyak pandangan di luar sana. Bagaimana pun, saya percaya rambut semulajadi boleh menjadi bahan ekspresi diri dan saya gembira jika penonton rasa teruja melihat tarian Rapunzel saya,” katanya.
Menceritakan lebih lanjut, Kambe berkata sebelum mendapat rambut panjang cantik mengurai dia pernah mewarnakan rambutnya.
“Kira-kira 15 tahun lalu apabila saya ingin mencapai impian sebagai artis, saya membuat keputusan untuk memotong bahagian rambut yang diwarnakan dan membiarkannya tumbuh panjang,” katanya.
Bagaimanapun ladbible.com melaporkan, dia bukan satu-satunya Rapunzel di luar sana apabila sebelum ini bintang media sosial, Alyona mempunyai rambut panjang sejak berusia lima tahun dan dia percaya kecantikan sebenar wanita terletak pada panjang rambut mereka.
Dia membuka akaun Instagram @alenuwka_longhair tahun lalu dan memuat naik gambar rambutnya yang menarik ramai pengikut.
Katanya, dia menerima pelbagai reaksi terutama daripada golongan lelaki yang ingin menghidu bau rambutnya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]