
Mahkamah perceraian di China memerintahkan seorang lelaki membayar 50,000 yuan (RM31,105) kepada bekas isterinya sebagai pampasan untuk kerja rumah yang dilakukannya sepanjang lima tahun perkahwinan mereka.
Ia adalah kali pertama mahkamah terbabit membuat keputusan seumpama itu sejak memperkenalkan undang-undang baru perkahwinan di sana.
Keputusan itu bagaimanapun mengundang perdebatan hangat mengenai nilai yang diletak terhadap kerja rumah apabila topik berkenaan ditonton 400 juta kali di Weibo kelmarin.
Mengikut rekod mahkamah, wanita itu, Wang mengenali suaminya, Chen pada 2010 sebelum berkahwin pada 2015. Mereka kemudiannya tinggal berasingan pada 2018 dan anak lelaki mereka tinggal dengan ibunya.
Chen memfailkan perceraian di mahkamah Fangshan, Beijing tahun lalu dan isteri pada mulanya enggan bercerai sebelum meminta pembahagian harta dan pampasan atas alasan Chen tidak melakukan sebarang kerja rumah dan menjaga anak selain menuduh suami curang.
Mahkamah membenarkan hak penjagaan anak kepada Wang selain mengarahkan suami membayar nafkah 2,000 yuan (RM1,250) sebulan serta bayaran kerja rumah terbabit.
“Memang patut dia dibayar tetapi 50,000 yuan terlalu sedikit. Jika kamu keluar dan bekerja setengah tahun mungkin dapat lebih daripada itu,” komen seorang netizen.
Manakala seorang peguam perceraian di wilayah Sichuan, Zhong Wen berkata keputusan itu berdasarkan undang-undang baru perkahwinan China yang berkuat kuasa 1 Januari lalu.
“Terdapat klausa mengatakan pihak yang mengambil lebih tanggungjawab membesarkan anak, menjaga orang tua dan membantu kerja rumah pasangan adalah layak untuk meminta pampasan ketika berlaku perceraian.
“Kedua-dua belah pihak harus berunding kaedahnya dan jika gagal, mahkamah harus membuat keputusan,” katanya.
Katanya, dia percaya keputusan itu memberi kelebihan dari segi sosial dan undang-undang apabila kerja rumah dilakukan pasangan diberi pengiktirafan.
Bagaimana pun katanya, jumlah pampasan yang diberikan dalam kes itu masih dilihat agak rendah.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]