
Pemerintah Bogor, Jawa Barat, mengenakan denda Rp20 juta bersamaan RM5,785.60 terhadap pengurusan sinetron yang sedang popular di negara itu, Ikatan Cinta, kerana melanggar protokol kesihatan berkaitan Covid-19 selepas ‘diserbu’ peminatnya ketika penggambaran, baru-baru ini.
Dalam kejadian di Gunung Geulis, Megamendung minggu lalu itu, lokasi penggambaran dilaporkan diserbu peminat sinetron berkenaan yang mahu melihat lakonan artis kesayangan mereka secara langsung.
Pelakon sinetron itu juga tidak memakai pelitup muka, kata Regen Bogor, Ade Yasin, lapor Antara News.
“Pelakon tidak memakai pelitup muka (sedangkan) harus menggunakannya,” katanya.
Sementara itu, aktres utamanya Amanda Manopo berkata di Instagram, barisan pelakon dan krew memang menjalani ujian calitan setiap kali sebelum memulakan penggambaran, malah mengambil suntikan vitamin untuk menjaga kesihatan dan stamina.
“Kami semua, daripada krew, pelakon, pemandu malah sesiapapun sehingga pihak hotel sekalipun menjalani ujian calitan.
“Malah seminggu sekali juga ada doktor datang memberikan vitamin. Ini bagi kami semua yang terlibat dengan proses penggambaran, bukan sekadar pelakon,” katanya di Instagram Live.
Dia juga berkata, kejadian itu bukan kesalahan pengurusan kerana penonton datang beramai-ramai ke lokasi penggambaran.
Bagaimanapun, dia menegaskan “Mereka hanya ingin datang, niatnya baik sebenarnya ingin bertemu.”
Sementara itu, Tribun News melaporkan pihak berkuasa akan terus mengawasi proses penggambaran di lokasi berkenaan.
Semua krew juga diwajibkan melakukan ujian antigen pantas secara berkala sehingga selesai proses penggambaran.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]