
Bersempena dengan majlis pelantikan bakal presiden AS Joe Biden dan naib presiden Kamala Harris, ribuan kolam dibuat penduduk tempatan berketurunan India di sekitar Capitol. Ini adalah bagi meraikan wanita pertama yang berasal dari Tamil Nadu dilantik ke jawatan tersebut.
Majlis angkat sumpah yang diadakan pada hari ini, 20 Jan, namun sambutan secara tidak langsung bermula pada Sabtu lalu apabila menyaksikan ribuan gambar kolam dihasilkan di seluruh negara dimuatkan dalam satu video.
Video tersebut dikongsikan dalam talian sesuai dengan semangat ‘Presidency for All’ (presiden untuk semua) yang diperjuangkan Biden, lapor India Times.
Lebih 1,800 individu di seluruh AS dan ramai juga dari India mengambil bahagian dalam inisiatif dalam talian itu untuk menghasilkan ribuan rekaan Kolam bagi meraikan acara bersejarah itu.
Indiaspora Forum meminta rakyat di seluruh Amerika menghantar gambar kolam mereka sebelum 14 Jan untuk dimuatkan dalam video berkenaan.
“Mengikut kepercayaan, Kolam melambangkan semangat positif dan permulaan baharu. Ramai orang dari pelbagai usia dan masyarakat bersama-sama membuat kolam ini di rumah mereka menggunakan bahan mesra alam.
“Sedikit keindahan selepas huru-hara,” kata Indiaspora Forum di Twitternya yang memaparkan video berkenaan.
Kata-kata itu merujuk kepada kekacauan di Capitol pada 6 Jan apabila penyokong Trump ‘mengamuk’ dan merusuh kerana tidak puas hati dengan kemenangan Biden.
“Apa yang bermula sebagai projek tempatan berkembang jauh melepasi jangkaan kami,” kata Shanthi Chandrasekar, artis multimedia dari Maryland yang memulakan inisiatif itu bersama beberapa rakan.
Menurut India.com, Kolam menggambarkan kesukaran dihadapi dalam hidup, dengan garisan yang mengelilingi bintik-bintik merujuk kepada bagaimana kita mengatasi dugaan seterusnya menjadikan kehidupan kita karya indah tersendiri.
Kamala berketurunan Afrika Amerika dan India – ibunya pakar biologi yang datang ke Amerika pada usia 19 tahun dari Tamil Nadu untuk melanjutkan pelajaran. Bapa Kamala pula seorang profesor emeritus ekonomi yang berasal dari Jamaica.
Majlis angkat sumpah disambut dengan sedikit kelainan tahun ini termasuk disiarkan secara maya atau menerusi rangkaian televisyen utama disebabkan wabak Covid-19.
Namun, barisan persembahannya tidak kurang menarik apabila dimulakan dengan nyanyian bintang pop, Lady Gaga mendendangkan lagu kebangsaan Amerika.
Artis popular lain iaitu Jennifer Lopez, Bruce Springsteen, Demi Lovato dan Jon Bon Jovi juga memeriahkan acara itu.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]