Culik bekas majikan kerana dendam

Culik bekas majikan kerana dendam

Bekas pengurus restoran mewah dan 12 rakannya dituduh menculik jutawan wanita.

Jacqueline Veyrac, 80, jutawan yang memiliki hotel lima bintang The Grand Hotel di Cannes di culik oleh bekas pekerjanya. (Gambar AFP)
PARIS:
Tiga belas orang termasuk seorang pengurus restoran Itali, bekas askar Britain dan penyiasat persendirian, berdepan perbicaraan kerana menculik seorang jutawan wanita tua yang juga pewaris hotel, disebabkan perasaan dendam.

Jacqueline Veyrac, 80, yang memiliki hotel lima bintang The Grand Hotel di Cannes serta restoran mewah tepi pantai La Reserve di Nice, diculik dari keretanya pada 24 Okt 2016.

Ketika ingin masuk ke dalam kenderaan SUV miliknya, dua lelaki yang memakai topeng menariknya masuk ke belakang sebuah van.

Seorang penculik terbabit turut mengancam membunuhnya jika membuat bising, selain mangsa dipaksa minum sedatif.

Veyrac diikat tangan dan mulut, dan dikurung selama dua hari di dalam van tersebut yang diletakkan di jalan yang sunyi.

Dia cuba menjerit meminta bantuan dan mengetuk pintu van berkenaan, namun cuma berjaya melepaskan diri pada malam kedua selepas menarik perhatian pejalan kaki yang kebetulan lalu di situ.

Suspek utama perbicaraan mahkamah di Nice itu adalah Giuseppe Serena, bekas pengurus La Reserve yang berdendam dengan Veyrac selepas kontraknya ditamatkan pada 2009.

Serena dituduh mengarahkan Veyrac diculik dengan harapan memperoleh wang tebusan, dan merancang membuka restoran baru hasil pembayaran berkenaan.

Peranan lelaki Itali itu didedahkan sebagai dalang kejadian berkenaan oleh rakan subahatnya. Serena juga menghadapi satu lagi tuduhan cuba menculik Veyrac pada 2013.

Serena yang ditahan reman sepanjang empat tahun menunggu kes ini dibicarakan, mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan.

Seorang lagi suspek, bekas askar Britain, Philip Dutton, 52, mengaku terbabit dalam penculikan itu.

Dutton yang juga didakwa berhubung kejadian 2013, menuntut wang tebusan 5 juta euro dari Veyrac dengan niat menyimpan 10%, manakala 50 % sepatutnya dibahagikan antara Serena dan rakan subahat lain, kata penyiasat.

Antara tertuduh lain termasuk penyiasat persendirian yang juga bekas jurugambar paparazzi Luc Goursolas, yang dituduh meletakkan alat pengesan pada kenderaaan Veyrac, serta tiga anggota geng dari kejiranan miskin di Nice.

Mendiang suami Veyrac membangunkan Grand Hotel di Cannes, antara lokasi penginapan mewah di tepi pantai yang menjadi buruan ketika festival filem Cannes setiap tahun.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.